FATWA MUIS

Bayi Tabung Uji

Apakah pandangan Islam tentang bayi tabung uji?

Cara-cara yang boleh tergambar dalam penyemaian benih dalam tabung uji pada masa ini ada tujuh cara:

  1. Disemaikan antara benih si suami dengan telur yang diambil dari seorang perempuan yang bukan isteri kepada lelaki itu kemudian dimasukkan semaian itu ke dalam rahim si isteri.
  2. Disemaikan antara benih seorang lelaki (bukan suami) dengan telur si isteri kemudian dimasukkan semaian itu ke dalam rahim si isteri.
  3. Disemaikan benih si suami dengan telur si isteri kemudian dimasukkan semaian itu ke dalam rahim seorang perempuan lain yang bersetuju untuk mengandung (hamil) dengannya.
  4. Disemaikan antara benih seorang lelaki (asing) dengan telur perempuan asing juga kemudian dimasukkan semaian itu ke dalam rahim si isteri.
  5. Disemaikan benih dengan telur dari sepasang suami isteri kemudian dimasukkan ke dalam rahim isteri keduanya.
  6. Diambil benih dari si suami dan telur si isteri dan disemai di tabung uji kemudian dimasukkan ke dalam rahim isteri.
  7. Diambil benih si suami kemudian disuntikkan di tempat yang sesuai dalam rahim isterinya sebagai semaian dari dalam.

Cara-cara yang pertama sehingga yang kelima adalah haram kesemuanya dan terlarang di sisi agama Islam kerana kesannya boleh merosakkan perhubungan halal serta mencampuradukkan keutuhan keturunan. Cara yang ke-6 dan yang ke-7 adalah dibolehkan. Seseorang Islam yang ingin mendapat anak boleh berusaha untuk mendapatkannya tetapi hendaklah ia pastikan dan berjaga-jaga supaya tidak melakukan sesuatu yang lain daripadanya.


Pengguguran Anak

Apakah pandangan Islam tentang pengguguran anak?

Para ulama bersependapat bahawa pengguguran anak selepas 4 bulan hukumnya adalah haram, bahkan ia merupakan satu perbuatan jenayah. Perbuatan ini merupakan suatu pembunuhan ke atas makhluk hidup yang telah cukup sifat dan nyata hidupnya. Oleh itu umat Islam sama sekali ditegah dari melakukannya. Kecuali pengguguran itu terpaksa dilakukan untuk menyelamatkan nyawa di ibu tersebut.

Pengguguran sebelum 4 bulan pula, para ulama tidak bersependapat. Ini disebabkan terdapat perselisihan sama ada kandungan itu telah hidup atau sebaliknya. Sebahagian besar ulama cenderung kepada menyatakan bahawa kandungan itu sudah hidup bersandarkan kepada ilmu perubatan. Berasaskan hal ini mereka menghukumkan pengguguran benih itu sebagai haram.

Memandangkan kepada kenyataan ilmu perubatan bahawa janin itu sudah hidup sejak pencantuman benih lelaki dan perempuan, maka jawatankuasa Fatwa telah memutuskan bahawa hukum pengguguran anak dalam kandungan adalah haram, tidak kira umur benih dalam kandungan.

 

 

Hakcipta © Mazuki Izani El-Besuty (22 Mac 2001)

 

[Home]