BERSUMPAH DENGAN AL-QURAN

S : Seorang lelaki telah bergaduh dengan isterinya dan bersumpah dengan Al-Quran ia akan berkahwin lagi dan memadukannya tetapi ia tidak melaksanakannya. Adakah sumpahnya dengan Al-Quran itu kena kaffarah (denda)?

J : Yang nyata dari hukum fiqh bahawa bersumpah dengan Al-Quran adalah sumpah yang sah dan wajib kaffarah jika orang yang bersumpah itu tidak melaksanakannya, kerana ayat-ayat suci adalah kalam Allah. Orang yang bersumpah dengan Al-Quran bermaksud bersumpah dengan apa yang termaktub di dalam Al-Quran. Jika yang bersumpah itu seorang yang mukallaf; bersumpah bukan kerana dipaksa oleh sesiapa bahkan bertujuan bersumpah maka jadilah kata-katanya sebagai mengangkat sumpah.

Jika ia telah melanggar sumpahnya maka wajib atasnya kaffarah kerana melanggar sumpah, iaitu wajib atasnya membuat satu daripada 3 perkara ini - sebagaimana yang tersebut di dalam Al-Quran, Surat Al-Maidah ayat 89: "Allah tiada menyiksa kamu kerana sumpah yang tidak kamu sengajakan, tetapi Dia menyiksa kamu kerana sumpah yang kamu sengajakan. Maka kaffarahnya ialah memberi makanan kepada sepuluh orang miskin daripada makanan yang biasa dimakan oleh keluarga kamu, atau memberikan pakaian kepada mereka ataupun memerdekakan seorang hamba (yang mukmin). Barangsiapa tiada memperolehi apa-apa dari yang tersebut itu hendaklah ia berpuasa selama 3 hari. Itulah kaffarah sumpahmu, bila kamu bersumpah. Dan peliharalah sumpahmu." < Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada kamu, mudah-mudahan kamu berterima kasih.

 

 

 [ Home ]