Al-Azhar : Jangan Panggil Yahudi Kera atau Khinzir

 

 

مجمع البحوث الإسلامية , Majma’ Al-Buhuts Al-Islamiyyah (Akademi Penyelidikan Islam) Universiti Al-Azhar yang diketuai oleh Syeikh Al-Azhar, Dr. Mohamed Sayed Tantawi mengesahkan satu perakuan supaya tidak menyifatkan Yahudi yang ada sekarang sebagai kera dan khinzir, dengan mengambil kira bahawa lebih baik tidak menyifatkan atau mencela satu puak manusia bersandarkan kepada golongan mereka yang terdahulu sebagaimana yang Al-Quran sebut tentang mereka yang telah ditukar menjadi kera dan khinzir.

Satu lajnah dalam Majma’ tersebut telah mula membincangkan tajuk ini selepas Majma’ ini menerima satu surat daripada Kementerian Luar  Mesir tentang memorandum terhadap Kedutaan Mesir di Washington berkenaan kemarahan rakyat Amerika terhadap tafsiran agama yang sentiasa diulang-ulang oleh para penceramah dan ulama Islam yang menyifatkan Yahudi sebagai kera dan khinzir.

 …. “Tidak syak lagi bahawa mana-mana pihak pasti marah bila orang lain menyifatkannya sebagai kera dan khinzir, kita umat Islam dilarang daripada mencela orang lain. Adapun yang disebutkan oleh Al-Quran tentang satu golongan kafir yang ditukarkan Allah (menjadi kera dan khinzir) atau mereka yang melakukan jenayah terhadap para nabi seperti Yahudi, ada beberapa pandangan mufassirin (ahli-ahli tafsir) dalam hal ini. Ada yang kata mereka benar-benar bertukar menjadi kera dan babi dan telah keluar daripada alam manusia. Ada pula yang mengatakan bahawa perubahan tersebut adalah dari segi majaz kerana kera dan khinzir mempunyai sifat yang buruk dan perangai yang bersifat keji. Maka apa yang dimaksudkan di sini ialah mereka (Yahudi) berubah dari segi sifat yang buruk sahaja,tidak dari segi perubahan fizikal. Ada juga yang mengatakan seandainya perubahan dari segi fizikal dikatakan benar-benar berlaku juga, ia tak kekal lama, kekal selama beberapa hari sahaja, lalu semua mati selepas itu. 

Pengajaran daripada ayat ini ialah memahaminya dengan fahaman yang betul dan mengambil pengajaran daripadanya. Yang boleh diambil iktibar di sini ialah, apa yang berlaku terhadap satu-satu umat adalah satu realiti yang menimpa mereka, tak semestinya berurutan kepada generasi-generasi mereka hingga boleh nak disifatkan mereka dengan khinzir atau kera.  Adalah lebih baik tidak mencela atau menyifatkan satu-satu golongan itu dengan sifat-sifat yang buruk khususnya kita sebagai umat Islam juga merasa marah terhadap apa yang dilafazkan oleh sesetengah pendita Yahudi yang menyifatkan orang-orang Arab sebagai angin kencang atau ular.

Perlu disebut di sini bahawa gambaran penukaran bentuk Yahudi (kpd kera & khinzir) dan penyataan bahawa mereka bersifat seperti kera dan khinzir telah disebutkan dalam 3 ayat Al-Quran Al-Kareem :

1) { وَلَقَدْ عَلِمْتُمُ الَّذِينَ اعْتَدَوْا مِنْكُمْ فِي السَّبْتِ فَقُلْنَا لَهُمْ كُونُوا قِرَدَةً خَاسِئِينَ} - Al-Baqarah : 65

2) {قُلْ هَلْ أُنَبِّئُكُمْ بِشَرٍّ مِّن ذَلِكَ مَثُوبَةً عِنْدَ اللهِ مَن لَّعَنَهُ اللهُ وَغَضِبَ عَلَيْهِ وَجَعَلَ مِنْهُمُ الْقِرَدَةَ وَالْخَنَازِيرَ وَعَبَدَ الطَّاغُوتَ أُولَئِكَ شَرٌّ مَّكَانًا وَأَضَلُّ عَن سَوَاءِ السَّبِيلِ} - Al-Maidah : 60

3) { فَلَمَّا عَتَوْا عَن مَّا نُهُوا عَنْهُ قُلْنَا لَهُمْ كُونُوا قِرَدَةً خَاسِئِينَ} Al-A'raf : 166

Dari sudut lain,  saranan Majma’ Buhuth AL-Islamiyyah supaya tidak menyifatkan Yahudi dengan kera dan khinzir telah mengundang reaksi yang berbeza dari kalangan ulama agama.

Dr. Manie’ Abdul Halim Mahmud ( الدكتور منيع عبد الحليم محمود ), Dekan Fakulti Usuluddin berpendapat bahawa ayat-ayat Al-Quran yang menyifatkan Yahudi sebagai kera dan khinzir adalah berita/cerita yang disebutkan oleh Allah sebagai peringatan kepada orang-orang Yahudi sekarang terhadap apa yang berlaku kepada datuk-nenek moyang mereka dahulu yang telah memperlekehkan suruhan-suruhan Allah, dan azab yang menimpa mereka dengan sebab mereka ingkar suruhan Tuhan. Jadi, transformasi Yahudi kepada kera dan khinzir adalah hal lepas yang telah berlaku sebagai peringatan, bukannya hal yang berterusan sehingga boleh nak disifatkan Yahudi sekarang dengannya. (iaitu menyifatkannya dengan kera dan khinzir).

Sementara itu, Syeikh Mohammad Ar-Rawi ( الشيخ محمد الراوي ), profesor Ilmu-ilmu Hadith dan juga anggota Majma’ menerangkan bahawa Yahudi adalah benar-benar khinzir di bumi ini, Al-Quran secara jelas telah menerangkannya. Oleh itu, menyifatkan Yahudi dengan kera dan khinzir adalah hakikat yang telah ditegaskan oleh Al-Quran. Tidak boleh mintak supaya jangan panggil Yahudi dengan kera dan khinzir, semata-mata kerana khilaf (perselisihan) ulama dalam penafsiran ayat-ayat Allah itu, ini kerana tafsir-tafsir ini adalah hanya ijtihad, bukan putus.

Sumber : Islam-Online (Edisi Arab)

 

 

 

Hakcipta © Mazuki Izani El-Besuty (5 Mac 2003)