MANHAJ DAKWAH NABI IBRAHIM DI DALAM AL-QURAN


KATA PENGANTAR


            Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan
keizinanNya kajian ini berjaya disempurnakan di dalam tempoh masa yang
ditetapkan. Sesungguhnya tiada sebarang urusan yang mampu diselesaikan
kecuali dengan kehendak dan keizinan dariNya semata-mata.

            Saya memilih untuk menulis di bawah tajuk Manhaj Dakwah Nabi
Ibrahim Di Dalam Al-Quran. Ia adalah berdasarkan kepada pemerhatian kepada
suasana masyarakat yang jelas sekali memerlukan kepada lahirnya golongan
pendakwah yang boleh berperanan dengan baik dalam menyebarkan mesej dakwah.
Namun, di dalam menyebarkan dakwah, golongan pendakwah sendiri sering
terpesong daripada manhaj-manhaj dan kaedah-kaedah yang ditetapkan oleh
Islam sendiri. Hasilnya, dakwah tidak berjaya disampaikan dengan sempurna
atau pendakwah sendiri gugur di dalam perjalanan dakwah. Senario ini
akhirnya menjadi satu fenomena biasa di kalangan masarakat menyebabkan
kefahaman sebenar tentang Islam tidak berjaya dipupuk dengan baik. Faktornya
terlalu banyak, antaranya ialah kegagalan memahami method dakwah seperti
yang disarankan oleh Al-Quran sebagaimana yang diamalkan oleh para nabi.

            Oleh kerana itulah, saya berusaha untuk sedikit sebanyak
mencungkil permata-permata pengajaran berharga yang boleh diambil daripada
kisah dakwah nabi-nabi khususnya Nabi Ibrahim yang terkenal dengan cubaan
dan ujian-ujian yang dihadapi di dalam hidupnya. Harapan saya ialah semoga
usaha yang kecil ini memberikan sedikit sumbangan kepada peradaban ilmu dan
sekurang-kurangnya memberikan sedikit panduan kepada golongan pendakwah masa
kini.

            Semoga usaha yang kecil ini dikira sebagai amalan yang baik dan
memperolehi ganjaran di sisi Allah SWT.

- Ahmad Fadhli bin Shaari (9 Mac 2003)


SINOPSIS


            Di samping memenuhi keperluan bagi mendapatkan diploma Dakwah
Wal Qiadah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), kajian ini
juga bertujuan untuk mengenalpasti manhaj-manhaj dakwah yang digunakan oleh
Nabi Ibrahim ‘alahissalam sepanjang dakwahnya kepada manusia sebagaimana
yang disebut di dalam Al-Quran. Manhaj-manhaj dakwah ini sekalipun
bersumberkan daripada sumber yang sama dengan nabi-nabi yang lain, ia tetap
mempunyai keistimewaan yang tersendiri jika dibandingkan dengan nabi-nabi
yang lain. Ini disebabkan pelbagai faktor termasuklah suasana yang
melingkungi penghidupan Nabi Ibrahim dan kerangka pemikiran masyarakat pada
masa itu.

            Manhaj dakwah Nabi Ibrahim sebagaimana yang akan dihuraikan di
dalam kajian ini dianggap penting untuk dikenalpasti kerana kebanyakan
daripada anggota masyarakat yang membaca Al-Quran dan mendengar kisah-kisah
sejarah nabi-nabi, tidak menganggap bahawa pengajaran-pengajaran ini sebagai
inti utama di dalam pengkisahan sejarah nabi-nabi. Adalah menjadi satu
tabiat masyarakat yang hanya suka mendengar dan menghayati sebarang cerita
yang disampaikan termasuklah oleh Al-Quran tanpa mengambil pengajaran untuk
dijadikan panduan di dalam hidup seharian. Apatah lagi apabila ia melibatkan
manhaj dakwah para nabi yang jarang sekali dicungkil dan dikenalpasti.

Manhaj-manhaj dakwah ini sesudah dikenalpasti dan disenaraikan diharap dapat
dijadikan panduan kepada para pendakwah yang sentiasa bergerak di dalam
mana-mana gerakan dakwah untuk menyampaikan mesej mereka kepada masyarakat.
Sekalipun suasana dan situasi yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim tentunya jauh
berbeza daripada situasi yang dihadapi oleh para pendakwah pada masa
sekarang, manhaj-manhaj yang digunakan oleh baginda tetap relevan untuk
dijadikan sebagai panduan dan asas dalam menyebarkan mesej dakwah.

            Secara umumnya, kehidupan Nabi Ibrahim terbahagi kepada dua
peringkat utama iaitu semasa baginda berada di negeri asalnya iaitu Iraq dan
yang kedua ialah semasa berada di Palestin. Di dalam kajian ini, saya tidak
berhajat untuk menyentuh secara langsung tentang kehidupannya di Palestin.
Ini adalah memandangkan kehidupannya di Palestin sebagaimana yang disebut di
dalam Al-Quran lebih menjurus kepada cubaan dan ujian terhadap diri dan
keluarganya sendiri. Oleh yang demikian, kajian ini akan lebih menumpukan
terhadap kehiduapn Nabi Ibrahim semasa di Iraq dan cubaan-cubaan yang
dihadapi oleh baginda sebagai seorang individu dalam berdepan dengan satu
sistem jahiliyyah yang mendasari kerangka pemikiran kaumnya. Tambahan pula,
jika diikuti penceritaan tentang kisah Nabi Ibrahim di dalam Al-Quran,
dakwah Nabi Ibrahim terhadap orang lain lebih tertumpu kepada peringkat
pertama di dalam kehidupannya. Ia termasuklah dakwah kepada ayah, kaum dan
pemerintah di zamannya.

            Kajian ini terbahagi kepada lima bab.  Di dalam bab yang
pertama, saya khususkan  kepada pengenalan tentang diri Nabi Ibrahim secara
umum sebagaimana yang disebut di dalam kitab-kitab sejarah. Ini merangkumi
nama dan keturunan keluarganya, negeri tempat baginda diutuskan dan juga
pemerintah di zamannya. Perlu ditegaskan bahawa kebanyakan daripada
fakta-fakta yang melibatkan Nabi Ibrahim secara peribadi tidak disahkan oleh
mana-mana nas samada Al-Quran mahupun hadis, tetapi hanyalah merupakan
pandangan-pandangan peribadi tokoh-tokoh sejarah berdasarkan kajian-kajian
yang dilakukan oleh mereka.

            Di dalam bab yang pertama ini juga, saya senaraikan perbincangan
tentang Nabi Ibrahim di dalam Al-Quran yang disebut namanya berulang kali
oleh Allah SWT. Ini merangkumi jumlah sebutan nama baginda dalam setiap
surah dan jumlah ayat yang mengandungi nama baginda di dalam Al-Quran. Ia
diikuti dengan huraian secara ringkas bidang perbincangan pengkisahan Nabi
Ibrahim yang disebut di dalam surah tersebut.  Bagaimanapun, tidak semua
surah yang menyebut nama Nabi Ibrahim dinyatakan satu persatu pengkisahannya
di dalam bab ini. Ini kerana terdapat surah-surah tertentu yang hanya
menyebut nama Nabi Ibrahim secara sepintas lalu di dalam satu ayat sahaja.
Kebanyakan ayat-ayat sebegini tidak berperanan sebagai pengkisah tetapi
hanya menyebut Nabi Ibrahim sebagai contoh ikutan kepada umat Islam.

            Di dalam bab kedua, saya fokuskan kepada dakwah Nabi Ibrahim
kepada ayah dan kaumnya sebagai permulaan kepada episod-episod lain di dalam
kisah baginda. Di dalam Al-Quran, tempat terawal yang menceritakan tentang
dakwah Nabi Ibrahim kepada ayah dan kaumnya ialah di dalam Surah Al-An’am
iaitu dalam juzuk yang ketujuh. Manakala di dalam juzuk pertama sudah
disebut kiah Nabi Ibrahim membina di Baitullah di Makkah. Walau
bagaimanapun, turutan pengkisahan di dalam Al-Quran ini tidaklah bermakna
turutan episod di dalam kehidupan Nabi Ibrahim. Berdasarkan kepada tafsiran
terhadap ayat-ayat yang menceritakan tentang baginda di dalam Al-Quran,
dapat disimpulkan bahawa mesej dakwah yang pertama yang disampaikan oleh
Nabi Ibrahim ialah kepada ayahnya sendiri dan kemudian kepada kaumnya.

            Di dalam bab ini saya senaraikan beberapa manhaj dakwah Nabi
Ibrahim semasa berdepan dengan ayah dan kaumnya mengikut urutan peristiwa
dan penyampaian dialog sebagaimana yang diceritakan di dalam Al-Quran.
Anatara yang uatam ialah manhaj yang digunakan oleh Nabi Ibrahim sebagai
seorang anak dan dalam masa yang sama juga sebagai seorang rasul di dalam
berdepan dengan ayahnya yang merupakan seorang penyembah berhala di mana ia
adalah merupakan salah satu daripada ciri-ciri keistimewaan yang tidak
terdapat di dalam kisah nabi-nabi yang lain. Begitu juga dengan kaedah
penjelasan terhadap ketuhanan Allah SWT yang diambil oleh Nabi Ibrahim
semasa berdepan dengan kaumnya yang merupakan penyembah cakerawala. Hujjah
demi hujjah dibentangkan supaya dapat mempengaruhi pemikiran kaumnya agar
dapat menentukan akidah yang sejahtera.

            Di dalam bab ketiga, saya khususkan kepada manhaj-manhaj dakwah
yang digunakan oleh Nabi Ibrahim semasa berdepan dengan seorang pemerintah
atau raja yang mengaku mempunyai kuasa ketuhanan. Pemerintah tersebut yang
tidak disebut namanya di dalam mana-mana nas sahih turut mengaku bahawa
dirinya mempunyai kuasa untuk menghidupkan serta mematikan. Jika
diperhatikan, Nabi Ibrahim tidak sahaja merupakan seorang pakar di dalam
perdebatan mengenai soal-soal ketuhanan, malah baginda juga merupakan
seorang yang berani berdepan dengan raja tersebut yang tentu sekali
mempunyai kekuasaan dan boleh menguatkuasakan apa sahaja bentuk hukuman
dengan serta merta.

            Seterusnya di dalam bab keempat, saya peruntukkan untuk
menyenaraikan manhaj-manhaj dakwah yang digunakan oleh Nabi Ibrahim di dalam
peristiwa penghancuran berhala-berhala sembahan kaumnya. Peristiwa yang
terkenal ini mengandungi pelbagai babak yang bermula dengan perancangan Nabi
Ibrahim yang berjaya mengelakkan diri dari menyertai hari raya kaumnya. Ia
diikuti dengan tindakan Nabi Ibrahim menghancurkan semua berhala-berhala
yang disembah oleh kaumnya kecuali berhala yang paling besar. Seterusnya
Nabi Ibrahim berdepan dengan kaumnya dalam satu mahkamah khas bagi menyiasat
peristiwa yang berlaku ke atas berhala-berhala tersebut. Di sinilah
berlakunya proses saling berhujjah antara Nabi Ibrahim dengan kaumnya.
Al-Quran menceritakan bahawa manhaj dakwah yang digunakan oleh Nabi Ibrahim
sebenarnya sudah mendapat kejayaan namun kekufuran dan kedegilan menutup
pintu hati kaumnya untuk menerima kebenaran. Peristiwa ini berakhir dengan
hukuman mati yang dijatuhkan kepada Nabi Ibrahim dengan dibakar hidup-hidup.
Sekali lagi Nabi Ibrahim memperlihatkan keyakinannya kepada Allah SWT dengan
tidak sedikitpun gentar malah bertawakkal sepenuhnya kepada Allah SWT.
Seterusnya Nabi Ibrahim diselamatkan oleh Allah SWT daripada hangus terbakar
di tengah-tengah api yang marak menjulang. Kesemua babak di dalam peristiwa
penghancuran berhala dan hukuman yang diterima oleh Nabi Ibrahim ini
memperlihatkan satu persatu manhaj yang digunakan oleh baginda di dalam
berdepan dengan kaumnya.

            Akhir sekali, saya senaraikan di dalam bab kelima beberapa
kesimpulan yang boleh diambil daripada pengkisahan tentang proses dakwah
Nabi Ibrahim kepada kaumnya yang disebut di dalam Al-Quran. Semuanya
memperlihatkan contoh terbaik yang sepatutnya dijadikan panduan oleh para
pendakwah pada zaman sekarang. Seandainya ia dapat dijadikan panduan di
dalam menjalankan gerak kerja dakwah, pastinya mesej dakwah dapat
disampaikan dengan lebih berkesan kepada sasaran dakwah.



PENGENALAN NABI IBRAHIM AS DAN

PERBINCANGAN TENTANGNYA DI DALAM AL-QURAN SECARA UMUM



Nama dan keluarganya

            Baginda ialah Ibrahim iaitu bapa segala nabi (abul abiya’)
(Solah Al-Khalidi, 1997  1 : 311). Gelarannya ialah Ibrahim Khalilullah
berdasarkan kepada firman Allah SWT (An-Nisa’ : 125) :

واتخذ الله إبراهيم خليلا

Maksudnya  :

dan Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.



Baginda diutuskan kepada penduduk negeri Iraq yang menyembah berhala dan
bintang-bintang (Solah Al-Khalidi, 1997  1 : 311). Menurut pendapat ahli
sejarah, Nabi Ibrahim AS diutuskan kepada penduduk Harran di Damsyik yang
menyembah bintang-bintang bertujuh dan juga berhala-berhala. Diceritakan
pada masa tersebut, semua penduduk di muka bumi kufur kepada Allah SWT
kecuali Nabi Ibrahim, isterinya Sarah dan anak saudaranya iaitu Nabi Lut
AS.( Ibnu Kathir, Al-Bidayah, t.t, 1 : 213).

            Selain daripada namanya, tidak disebutkan secara jelas tentang
nama keturunannya di dalam mana-mana nas samada Al-Quran atau As-Sunnah
kecuali nama ayah baginda yang disebut di dalam firman Allah SWT  (Surah
Al-An’am, ayat 74) :

وإذ قال إبراهيم لأبيه آزر أتتخذ أصناما آلهة

Maksudnya :

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: "Patutkah
ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? ".

Selain daripada ayat tersebut, Imam Bukhari Rahimahulllah meriwayatkan satu
hadis yang menceritakan dialog Nabi Ibrahim AS dengan ayahnya di hari
kiamat:

حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ عَبْدِاللَّهِ قَالَ أَخْبَرَنِي أَخِي
عَبْدُالْحَمِيدِ عَنِ ابْنِ أَبِي ذِئْبٍ عَنْ سَعِيدٍ الْمَقْبُرِيِّ عَنْ
أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِي اللَّه عَنْه عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ قَالَ يَلْقَى إِبْرَاهِيمُ أَبَاهُ آزَرَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
وَعَلَى وَجْهِ آزَرَ قَتَرَةٌ وَغَبَرَةٌ ... إلخ

Maksudnya  :

Daripada Ismail bin Abdullah berkata, telah mengkhabarkan kepadaku saudaraku
Abdul Hamid daripada Ibnu Abi Zi’b daripada Sa’id  Al-Maqburiyy daripada Abu
Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassalam
bersabda : Ibrahim akan berjumpa dengan ayahnya Aazar pada hari kiamat dan
pada wajah Aazar (tanda-tanda) penyesalan dan kekesalan… (Bukhari, Shahih,
hadi no. 3350)



Sekalipun nama ayah baginda disebut secara jelas di dalam ayat ini, namun
terdapat ahli-ahli sejarah yang mengatakan bahawa lafaz Aaazar adalah satu
lafaz yang digunakan kepada penyembah-penyembah berhala yang salah satu dari
berhala-berhala tersebut namanya ialah Aazar. Pendapat ini dipegang oleh
Ibnu Abbas, Ibnu Kathir dan beberapa ahli sejarah yang lain (Solah
Al-Khalidi, 1997, 1 : 215). Di dalam mebicarakan keturunan Nabi Ibrahim AS,
Ibnu Kathir mendatangkan nasabnya seperti berikut : Ibrahim bin Tarkh bin
Mahur bin Sarugh bin Ra’u bn Faligh bin ‘Abir bin Shalikh bin Arfakhshaz bin
Sam bin Nuh ‘Alaihissalam (Ibnu Kathir, Al-Bidayah, t.t, 1 : 212).

Bagaimanapun, Ibnu Jarir At-Thabari berpegang teguh dengan namanya
sebagaimana yang disebut di dalam Al-Quran iaitu Aazar.( At-Tobari, Tafsir,
1 : 222)



Pemerintah di zamannya

            Tidak disebut secara jelas di dalam Al-Quran tentang nama raja
yang memerintah ketika Nabi Ibrahim diutuskan. Bagaimanapun ada diceritakan
bahawa pemerintah ini kufur kepada ketuhanan Allah SWT, malah lebih jauh
lagi mendakwa dirinya mempunyai kuasa ketuhanan. Ini secara jelas disebut
oleh Allah SWT (Surah Al-Baqarah, ayat 258) :

ألم تر إلى الذي حاج إبراهيم في ربه أن آتاه الله الملك إذ قال إبراهيم ربي
الذي يحيي ويميت قال أنا أحيي وأميت قال إبراهيم فإن الله يأتي بالشمس من
المشرق فأت بها من المغرب فبهت الذي كفر والله لا يهدي القوم الظالمين

Yang bermaksud : Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang
orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai
Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi
Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan". Ia
menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim berkata
lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu
terbitkanlah dia dari barat?" Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu
diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada
kaum yang zalim.



Ayat ini dengan terus-terang menceritakan kedegilan pemerintah di zaman Nabi
Ibrahim AS yang mendakwa dirinya mempunyai sifat-sifat dan kuasa ketuhanan.
Namun tidak disebut apakah nama pemerintah tersebut. Manakala di dalam
beberapa riwayat Israiliyyat diceritakan bahawa nama pemerintah tersebut
ialah Namrud yang memerintah negeri Babil, kemudian Allah SWT akhirnya
menghancurkannya dengan diutuskan seekor nyamuk untuk memasuki kepalanya
melalui telinganya. (Dr. Solah Al-Khalidi, 1997, 1 : 337)

Bagaimanapun, memandangkan bahawa nama Namrud hanya disebut di dalam riwayat
Israiliyat sahaja dan tidak disahkan oleh mana-mana nas, maka adalah lebih
baik untuk kita menghentikan perbincangan tentangnya dan menerima fakta ini
sebagaimana yang diimani oleh para sahabat Radhiallahu ‘anhum.



Nabi Ibrahim AS Di Dalam Al-Quran

            Al-Quran menyebut nama Ibrahim berpuluh-puluh kali, samada
ketika mengisahkan dakwahnya kepada kaumnya ataupun ketika menyebutnya
secara umum bersama dengan nama-nama nabi yang lain.

            Berikut ialah nama-nama surah yang menyebut nama Ibrahim dan
bilangan sebutan namanya :

1.                  Surah Al-Baqarah disebut namanya sebanyak 15 kali.

2.                  Surah Ali Imran disebut namanya sebanyak 7 kali.

3.                  Surah An-Nisa’ disebut namanya sebanyak 4 kali.

4.                  Surah Al-An’am disebut namanya sebanyak 4 kali.

5.                  Surah At-Taubah disebut namanya sebanyak 3 kali.

6.                  Surah Hud disebut namanya sebanyak 4 kali.

7.                  Surah Yusuf disebut namanya sebanyak 2 kali.

8.                  Surah Ibrahim disebut namanya sebanyak 1 kali.

9.                  Surah Al-Hijr disebut namanya sebanyak 1 kali.

10.              Surah An-Nahl disebut namanya sebanyak 2 kali.

11.              Surah Al-Anbiya’ disebut namanya sebanyak 4 kali.

12.              Surah Al-Anbiya’ disebut namanya sebanyak 4 kali.

13.              Surah Al-Hajj disebut namanya sebanyak 3 kali.

14.              Surah As-Syua’raa’ disebut namanya sebanyak 1 kali.

15.              Surah Al-Ankabut disebut namanya sebanyak 2 kali.

16.              Surah Al-Ahzab disebut namanya sebanyak 1 kali.

17.              Surah As-Shaffat disebut namanya sebanyak 3 kali.

18.              Surah Shad disebut namanya sebanyak 1 kali.

19.              Surah As-Syura disebut namanya sebanyak 1 kali.

20.              Surah Az-Zukhruf disebut namanya sebanyak 1 kali.

21.              Surah Adz-Dzariyat disebut namanya sebanyak 1 kali.

22.              Surah An-Najm disebut namanya sebanyak 1 kali.

23.              Surah Al-Hadid disebut namanya sebanyak 1 kali.

24.              Surah Al-Mumtahanah  disebut namanya sebanyak 2 kali.

25.              Surah Al-A’la disebut namanya sebanyak 1 kali.

Jika ditelitit dari fakta di atas, didapati bilangan surah yang disebut nama
Ibrahim di dalamnya ialah 25 surah dan jumlah ayat yang menyebut nama
Ibrahim ialah sebanyak 69 ayat. Sekalipun terdapat banyak surah-surah yang
menceritakan tentang Nabi Ibrahim AS, setiap pengkisahan tersebut dibawa
dalam bentuk-bentuk yang berlainan. Ia boleh dirumuskan sebagaimana berikut
:



1.  Surah Al-Baqarah :  Disebut kisah Nabi Ibrahim di dalam Al-Quran
sebanyak tiga kali iaitu kali pertama di dalam ayat 124-141. Ayat-ayat ini
menceritakan perkara-perkara berikut :

·        perlantikan Nabi Ibrahim AS dan keturunannya sebagai pemimpin
kepada manusia.

·        Perintah supaya dijadikan sebahagian daripada maqam Ibrahim sebagai
tempat bersolat.

·        Disebut juga di sini doa Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail
selepas membina Kaabah.

·        Penegasan daripada Allah SWT bahawa agama Nabi Ibrahim ialah agama
Islam.

·        Wasiat Nabi Ibrahim kepada anak-anaknya supaya menjadi orang-orang
Islam dan melarang mereka mati di dalam agama selain daripada agama Islam.

·        Membincangkan tentang golongan Yahudi dan Nasrani yang mendakwa
bahawa mereka mengikuti agama Nabi Ibrahim.

·        Menegaskan keimanan orang-orang muslimin kepada Nabi Ibrahim dan
juga kepada nabi-nabi lain selepas Nabi Ibrahim.

·        Menolak dakwaan orang-orang Yahudi dan Nasrani bahawa Nabi Ibrahim
dan rasul-rasul selepasnya adalah beragama Yahudi ataupun Nasrani dan
diikuti dengan penegasan bahawa Nabi Ibrahim dan rasul-rasul selepasnya
merupakan orang-orang muslimin.



Manakala di tempat kedua di dalam surah Al-Baqarah yang menceritakan tentang
Nabi Ibrahim AS ialah di dalam ayat 258. Ayat ini membicarakan tentang
perdebatan Nabi Ibrahim dengan seorang pemerintah di zamannya yang mendakwa
mempunyai kuasa ketuhanan.

Manakala di tempat yang ketiga ialah di dalam ayat 260. Ayat ini mengisahkan
permohonan Nabi Ibrahim AS kepada Allah SWT supaya menunjukkan bagaimanakah
Dia menghidupkan orang-orang yang sudah mati. Memandangkan perbincangan
tentang kisah ini tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan dakwah Nabi
Ibrahim AS, maka saya tidak berhajat untuk mengulas lanjut tentangnya.



2. Surah Ali-Imran : Surah ini tidak menceritakan episod-episod yang
terdapat di dalam kisah Nabi Ibrahim tetapi lebih menekankan tentang
kelebihan dan kemuliaan Nabi Ibrahim di sisi Allah SWT dan hakikat  agama
yang dianutinya.  Di dalam ayat 33 , ditegaskan bahawa Allah SWT memilih
keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran dengan diberikan kelebihan dan
kemuliaan mengatasi umat-umat yang lain di dunia. Manakala seterusnya di
dalam ayat 65-68, Allah SWT menolak dakwaan orang-orang Yahudi dan Nasrani
bahawa Nabi Ibrahim menganuti agama mereka bahkan Nabi Ibrahim ialah seorang
yang bergama hanif.    Hanif  bererti lurus. Ibnu Kathir Rahimahullah di
dalam Tafsirnya menyebut bahawa istilah ini sebagai satu penyataan bahawa
Nabi Ibrahim suci bersih dari sebarang amalan syirik dan beriman dengan
keimanan yang sebenarnya. (Tafsir Al-Quranul ‘Azim oleh  Ibnu Kathir,  Jilid
I, Darul Fikr, ms 457). Juga ditegaskan bahawa bahawa golongan yang paling
hampir dengan Nabi Ibrahim ialah orang-orang yang beriman dengannya daripada
kaumnya dan diikuti dengan Nabi Muhammad SAW dan umatnya.

            Manakala di dalam aat 95-97 pula, disebut tentang perintah Allah
SWT kepada golongan ahli kitab supaya mengikuti agama Nabi Ibrahim AS  dan
memeluk agama Islam. Kemudian diceritakan secara umum pembinaan Kaabah oleh
Nabi Ibrahim yang disifatkan sebagai binaan yang pertama dibina untuk
beribadat kepada Allah. Sebagai mengikuti sunnah Nabi Ibrahim ini,
diperintahkan kepada umat Islam agar melaksanakan ibadah haji ke Baitil
Haram.



3. An-Nisa’ :  Di dalam ayat 125 mengandungi pujian kepada mereka yang
mengikuti Nabi Ibrahim yang lurus serta pengambilan Nabi Ibrahim sebagai
kekasih Allah.



4. Surah Al-An’am :  Di dalam ayat 74-86, dibentangkan episod awal dari
dakwah Nabi Ibrahim AS iaitu dakwahnya kepada ayahnya dan juga kepada
kaumnya. Secara ringkasnya, ayat-ayat ini menceritakan dialog Nabi Ibrahim
dengan ayahnya Aazar yang merupakan penyembah berhala. Seterusnya diikuti
dengan dakwah Nabi Ibrahim terhadap kaumnya yang menjadikan bintang sebagai
tuhan. Disebut di dalam ayat-ayat ini kebijaksanaan Nabi Ibrahim AS yang
menggunakan hujah-hujah yang teguh dengan mendatangkan bukti-bukti berbentuk
aqliah tentang kebatilan ibadat kaumnya. Dengan hujah-hujah ini, maka
jelaslah bahawa sembahan kaumnya selama ini adalah salah sama sekali.
Seterusnya disebut secara umum nama-nama nabi yang lahir dari keturunan Nabi
Ibrahim AS.

            Kemudian di penghujung surah ini iaitu di dalam ayat 161,
ditegaskan bahawa agama Nabi Ibrahim ialah agama hanif.



5. Surah At-Taubah :  Di dalam ayat 114 didedahkan kedudukan sebenar doa
Nabi Ibrahim yang memohon supaya ayahnya diampunkan oleh Allah, juga
kedudukan Nabi Ibrahim yang berlepas diri dari kekufuran ayahnya sesudah
nyata bahawa ayahnya ialah musuh Allah.



6. Surah Hud : Ayat 69 – 76 yang terdapat di dalam surah ini mengisahkan
tentang kedatangan para malaikat kepada Nabi Ibrahim AS dengan menyamar
sebagai manusia. Nabi Ibrahim yang tidak mengenali mereka telah
menghidangkan makanan namun tidak dijamah oleh mereka kerana sifat mereka
sebagai malaikat tidak memungkinkan mereka untuk makan. Seterusnya
diceritakan pemberitahuan berita gembira kepada Nabi Ibrahim dan isterinya
Sarah akan kehadiran cahaya mata yang bernama Ishak. Kemudian diceritakan
pula bahawa kedatangan para malaikat ini sebenarnya ialah untuk menemui Nabi
Lut AS yang merupakan anak saudara Nabi Ibrahim.



7. Surah Ibrahim : Surah yang dinamakan dengan namanya sendiri ini
mengandungi secara terperinci doa Nabi Ibrahim kepada Allah SWT di dalam
ayat 35-41. Doa yang dilafazkan oleh Nabi Ibrahim ini antara lainnya
mengandungi perkara-perkara berikut :

·        memohon supaya Allah SWT menjadikan tanah Mekah sebagai tempat yang
aman.

·        Supaya dijauhkan dirinya dan keturunannya dari menjadi penyembah
berhala.

·        Memohon supaya Allah SWT menjadikan hati manusia tertarik untuk
datang ke Tanah Haram selepas dinyatakan bahawa isteri dan anaknya telah
ditinggalkan di situ semata-mata supaya mereka mendirikan solat dan
melaksanakan perintah Allah SWT.

·        Memohon supaya dikurniakan penghuni-penghuni Tanah Haram ini rezeki
yang melimpah ruah.

·        Menyatakan syukurnya kepada Allah SWT di atas nikmat yang telah
diterima olehnya dan juga keturunannya.



8. Surah Al-Hijr : Diceritakan di dalam ayat 51-60 tentang kedatangan
malaikat kepada Nabi Ibrahim AS. Kedatangan mereka dalam rupa bentuk manusia
ialah bertujuan untuk menyampaikan berita gembira kepada Nabi Ibrahim akan
kelahiran seorang anak lelaki dan juga berita tentang kaum Nabi Lut yang
telah melampaui batas di dalam kekufuran mereka kepada Allah SWT.



9. Surah An-Nahl :  Di dalam ayat 120 dikhabarkan secara ringkas bahawa Nabi
Ibrahim ialah seorang yang taat kepada Allah (hanif) dan tidak sekali-kali
termasuk di kalangan orang-orang musyrikin. Manakala di dalam ayat 123
mengandungi perintah supaya diikuti agama Nabi Ibrahim.



10. Surah Maryam :  Surah Maryam menceritakan tentang Nabi Ibrahim di dalam
ayat 41-50. Ayat-ayat ini mengisahkan dakwah Nabi Ibrahim kepada ayahnya
supaya tidak kufur  kepada Allah SWT dan memasuki agama Islam. Namun ayahnya
menolak dakwah Nabi Ibrahim lalu Nabi Ibrahim mengasingkan diri dari bapanya
dan dikurniakan oleh Allah SWT dua orang anak iaitu Nabi Ismail dan Nabi
Ishak.



11. Surah Al-Anbiya’ : Surah ini menceritakan tentang kisah Nabi Ibrahim AS
di dalam ayat 51-73. Ia bermula dengan penolakan Nabi Ibrahim terhadap
ketuhanan berhala-berhala yang menjadi sembahan bapa dan kaumnya. Ia diikuti
dengan dakwah terhadap agama Islam.

Seterusnya ayat-ayat ini menceritakan satu episod penting dalam kisah Nabi
Ibrahim iaitu peristiwa baginda menghancurkan berhala-berhala kecuali
berhala yang terbesar.  Ia seterusnya diikuti dengan perbicaraan terhadap
Nabi Ibrahim yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada baginda yang
menggunakan hujjah-hujjah yang kukuh bagi menolak ketuhanan berhala-berhala
yang menjadi sembahan kaumnya. Walaupun demikian, Nabi Ibrahim tetap dihukum
dengan dicampakkan ke dalam api tetapi diselamatkan oleh Allah SWT.

Akhir sekali, Nabi Ibrahim keluar dari negeri tersebut bersama anak
saudaranya iaitu Nabi Lut ke ‘bumi yang diberkati’ iaitu Palestin dan
seterusnya dikurniakan dua orang anak iaitu Nabi Ishak dan Nabi Ismail.



12. Surah Al-Hajj : Di dalam ayat 62-69, diceritakan  tentang satu episod
dari kisah Nabi Ibrahim yang bersesuaian dengan nama surah ini sendiri. 
Episod tersebut ialah permulaan kepada ibadat haji yand diasaskan oleh Nabi
Ibrahim AS. Di dalam ayat-ayat ini, diceritakan tentang pembinaan Masjidil
Haram dan perintah Allah kepada Nabi Ibrahim supaya menyeru manusia datang
ke Masjidil Haram menunaikan haji dan mengagungkan syiar-syiar Allah.  Di
dalam ayat 78 yang merupakan ayat yang terakhir daripada surah ini menyebut
pula kaitan yang kuat antara umat Islam dengan Nabi Ibrahim di mana nama
‘Islam’ itu sendiri adalah diberikan oleh Nabi Ibrahim AS.



13. Surah As-Syu’ara’ :  Surah ini menceritakan tentang kisah Nabi Ibrahim
pada ayat 69-89. Ia mengandungi kisah dakwah Nabi Ibrahim kepada ayah dan
kaumnya. Seterusnya diikuti dengan ikrar daripada baginda yang berlepas diri
dari apa jua amalan syirik kaumnya.



14. Surah Al-Ankabut : Ayat 16-27 di dalam  surah ini menceritakan dakwah
Nabi Ibrahim kepada kaumnya supaya menyembah Allah dan menolak amalan
kaumnya yang mensyirikkan Allah. Berbeza dengan surah-surah yang lain, di
sini diceritakan bagaimana Nabi Ibrahim turut memperkenalkan sifat-sifat
Allah kepada kaumnya. Namun segala penjelasan ini ditolak oleh kaumnya malah
diancam untuk dibunuh atau dibakar. Namun Nabi Ibrahim diselamatkan oleh
Allah dari segala perancangan orang-orang kafir. Seterusnya Nabi Ibrahim
bersama-sama dengan Nabi Lut berhijrah ke Palestin dan dikurniakan oleh
Allah seorang anak iaitu Nabi Ishak yang dari keturunannya lahir Nabi
Yaakub.



15. Surah As-Shaffat : Ayat 83-113 daripada surah ini menceritakan bagaimana
Nabi Ibrahim dikurniakan hati yang sejahtera. Seterusnya dikisahkan
bagaimana dakwah Nabi Ibrahim yang menolak amalan kaumnya yang mensyirikkan
Allah. Ia diikuti dengan peristiwa penghancuran berhala dan ekoran daripada
itu, Nabi Ibrahim dihukum dengan dibakar hidup-hidup. Bagaimanapun, baginda
diselamatkan oleh Allah seterusnya dikurniakan anak yang bernama Ismail.

            Seterusnya ayat-ayat ini menceritakan saat-saat getir yang
dilalui oleh Nabi Ibrahim apabila diperintahkan untuk menyembelih anaknya
sendiri. Di sini, Nabi Ibrahim berjaya membuktikan ketaatannya kepada Allah.
Diceritakan juga tentang anaknya yang lain iaitu Nabi Ishak yang juga
diangkat menjadi nabi dan dimuliakan Allah keturunannya.



16. Surah Az-Zukhruf : Di dalam ayat 26 disebut perkhabaran tentang Nabi
Ibrahim yang tidak akan dipersoalkan tentang kekufuran kaumnya.



17. Surah Adz-Dzariyaat  : Surah ini menceritakan tentang Nabi Ibrahim di
dalam ayat 24-34. Ia dimulakan dengan kisah para malaikat yang datang kepada
Nabi Ibrahim untuk menyampaikan berita gembira kepadanya akan kelahiran
cahaya matanya, Nabi Ishak. Dinukilkan di dalam ayat ini kehairanan isteri
Nabi Ibrahim apabila mendengar berita tersebut. Seterusnya, para malaikat
tersebut memberitahu Nabi Ibrahim tentang bala yang akan ditimpakan kepada
umat Nabi Lut.



18. Surah Al-Hadid : Ayat 26 mengandungi isyarat kepada kenabian Nabi Nuh
dan Ibrahim serta keturunan mereka yang mewarisi nubuwwah.



19. Surah Al-Mumtahanah : Surah ini membicarakan tentang Nabi Ibrahim di
dalam ayat 4-6. Ayat ini memperkatakan tentang kedudukan iman Nabi Ibrahim
dan pengikut-pengikutnya yang beriman serta pelepasan mereka daripada kaum
mereka yang kufur. Juga disebut kemurkaan Allah kepada orang-orang kafir
sehinggalah mereka beriman kepadaNya. Dinukilkan juga perintah kepada
orang-orang mukmin supaya mencontohi Nabi Ibrahim dan menerangkan kedudukan
sebenar doa Nabi Ibrahim kepada ayahnya.

            Selain daripada surah-surah yang telah disenaraikan, turut
disebut nama Nabi Ibrahim secara umum samada bersama dengan nama-nama nabi
yang lain atau pujian terhadapnya dan nabi-nabi yang lain secara sepintas
lalu atau sebagainya. Antaranya ialah surah Yusuf (ayat 6 dan 38), Al-Ahzab
(ayat 7), Shad (ayat 45), As-Syura (ayat 13), An-Najm (ayat 37)dan Al-A’la
(ayat 19).

Peringkat-peringkat Dakwah Nabi Ibrahim ‘Alahissalam

            Melalui penceritaan tentang Nabi Ibrahim yang disebut oleh Allah
SWT di dalam Al-Quran, kita dapat membuat satu kesimpulan bahawa kehidupan
Nabi Ibrahim terbahagi kepada beberapa peringkat. Begitu juga dengan dakwah
dan seruan Nabi Ibrahim kepada manusia di zamannya, turut terbahagi kepada
beberapa peringkat.

            Secara umumnya, kehidupan Nabi Ibrahim terbahagi kepada dua
peringkat yang utama sebagaimana berikut :

Peringkat pertama :    Dakwahnya di negerinya yang asal iaitu negeri Iraq.
Di sinilah dilakukan seruan dakwah seperti yang diceritakan oleh Al-Quran
iaitu dakwah kepada ayah dan kaumnya. Ia diikuti dengan dakwah kepaad
pemerintah yang zalim. Namun, apabila seruan dakwahnya ditolak, Nabi Ibrahim
mengambil tindakan menghancurkan berhala-berhala sembahan kaumnya. Ia
mengakibatkan dirinya dihukum bakar namun diselamatkan oleh Allah SWT.

Apabila telah jelas kaumnya tidak akan menerima dakwahnya, Allah SWT
memerintahkan Nabi Ibrahim berhijrah ke negeri yang lain iaitu Palestin.

Peringkat kedua :        Dakwahnya di bumi yang diberkati iaitu Palestin. Di
dalam perjalanan hijrahnya ke Palestin, baginda ditemani oleh anak
saudaranya iaitu Nabi Lut. Selepas itu, mereka hidup berdekatan antara satu
sama lain di mana Nabi Ibrahim berada di Quds manakala Nabi Lut berada di
sebelah timur.

Di dalam peringkat ini jugalah kita mendapati Nabi Ibrahim bermusafir
bersama dengan isterinya Sarah ke Mesir dan dihadiahkan seorang jariah yang
bernama Hajar sebagaimana disebut oleh Rasulullah SAW. Di peringkat ini
jugalah berlakunya peristiwa baginda didatangi oleh malaikat bagi membawa
berita gembira tentang kelahiran Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta bencana
yang akan menimpa kaum Nabi Lut.

Di peringkat ini jugalah Nabi Ibrahim dikurniakan anak yang pertama iaitu
Nabi Ismail yang lahir dari Hajar. Selepas itu, Allah memerintahkan supaya
Nabi Ibrahim membawa kedua-duanya ke tanah Hijjaz lalu ditinggalkan di tanah
yang kering kontang tanpa air dan tumbuhan.

Selepas beberapa tahun, Nabi Ibrahim dibenarkan untuk menziarahi
kedua-duanya di Tanah Haram di mana ketika itu Nabi Ismail sudahpun
meningkat remaja. Di ketika inilah Nabi Ibrahim diperintahkan untuk
menyembelih anaknya yang kemudiannya digantikan oleh Allah dengan sembelihan
yang besar.

Selepas beberapa tahun pula, sekali lagi lagi Nabi Ibrahim ke Tanah Haram
untuk mendirikan Kaabah sebagai tempat untuk menyembah Allah yang pertama di
muka bumi. Selepas Kaabah selesai didirikan, Nabi Ibrahim menyeru manusia
untuk datang menunaikan haji.

Apabila Nabi Ibrahim kembali semula ke Palestin, baginda tinggal di situ
sehinggalah diwafatkan oleh Allah SWT.



Di sini kita boleh mengambil kesimpulan bahawa kebanyakan cabaran yang
dihadapi oleh Nabi Ibrahim di dalam dakwahnya ialah semasa di peringkat yang
pertama. Ini kelihatan dengan jelas di mana di peringkat inilah Nabi Ibrahim
berdepan dengan ayah, kaum dan pemerintah di zamannya. Pihak-pihak ini
kesemuanya menolak dakwah Nabi Ibrahim sehingga mengakibatkan Nabi Ibrahim
terpaksa menggunakan pelbagai cara dan manhaj supaya dakwahnya diterima.

Manakala di peringkat yang kedua, tidak kelihatan dengan jelas fakta-fakta
dakwah Nabi Ibrahim kecuali beberapa siri ujian yang lebih menfokus terhadap
dirinya sendiri. Ujian-ujian tersebut termasuklah perintah meninggalkan anak
dan isterinya di tanah yang kering kontang tanpa sebarang makanan dan
perintah supaya menyembelih anaknya sendiri serta ujian-ujian yang lain.

Oleh yang demikian, saya akan lebih menekankan kepada manhaj dakwah Nabi
Ibrahim semasa berada di peringkat pertama memandangkan kebanyakan dakwah
Nabi Ibrahim yang disebut di dalam Al-Quran adalah berkisar di peringkat
tersebut.









BAB KEDUA : DAKWAH NABI IBRAHIM KEPADA AYAH DAN KAUMNYA



Allah SWT mengutuskan Ibrahim sebagai nabi dan rasul kepada umatnya. Dan
gerak kerja dakwah pertama yang dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim ialah dakwah
kepada ayahnya sendiri.

            Nabi Ibrahim memilih ayahnya sebagai sasaran dakwah yang pertama
berdasarkan kedudukan ayahnya sendiri sebagai orang yang paling rapat
dengannya. Oleh yang demikian, Nabi Ibrahim berusaha sedaya mungkin agar
orang yang rapat dengannya ini terselamat dari kesesatan yang nyata.
Al-Quran menceritakan dialog Nabi Ibrahim dengan ayahnya di dalam beberapa
tempat di dalam Al-Quran. Antaranya ialah firman Allah SWT (Maryam : 41 –
47) :

واذكر في الكتاب إبراهيم إنه كان صديقا نبيا (41) إذ قال لأبيه ياأبت لم تعبد
ما لا يسمع ولا يبصر ولا يغني عنك شيئا (42) ياأبت إني قد جاءني من العلم ما لم
يأتك فاتبعني أهدك صراطا سويا (43) ياأبت لا تعبد الشيطان إن الشيطان كان
للرحمان عصيا (44) ياأبت إني أخاف أن يمسك عذاب من الرحمان فتكون للشيطان وليا
(45) قال أراغب أنت عن آلهتي ياإبراهيم لئن لم تنته لأرجمنك واهجرني مليا (46)
قال سلام عليك سأستغفر لك ربي إنه كان بي حفيا (47)

Maksudnya :

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi
Ibrahim; sesungguhnya adalah ia seorang yang amat benar, lagi menjadi Nabi.
Ketika ia berkata kepada bapanya:" Wahai ayahku, mengapa ayah menyembah
benda yang tidak mendengar dan tidak melihat serta tidak dapat menolongmu
sedikitpun? " Wahai ayahku, sesungguhnya telah datang kepadaku dari ilmu
pengetahuan yang tidak pernah datang kepadamu oleh itu ikutlah daku; aku
akan memimpinmu ke jalan yang betul. " Wahai ayahku, janganlah ayah
menyembah Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu adalah menderhaka kepada Allah
yang melimpah-limpah rahmatNya. " Wahai ayahku, sesungguhnya aku bimbang
bahawa ayah akan kena azab dari (Allah) Ar-Rahman disebabkan ayah menyembah
yang lainnya; maka dengan sebab itu akan menjadilah ayah rakan bagi Syaitan
di dalam neraka". (Bapanya) menjawab: "Patutkah engkau bencikan
tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya jika engkau tidak berhenti
daripada menyeru dan menasihati daku sudah tentu aku akan meluntarmu dengan
batu; dan (ingatlah lebih baik) engkau tinggalkan daku sepanjang masa". Nabi
Ibrahim berkata: " Selamat tinggal ayah; aku akan memohon kepada Tuhanku
mengampuni dosamu; sesungguhnya Ia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsanNya
kepadaku.



Selain daripada ayat di ayat, disebut tentang dakwah Nabi Ibrahim kepada
ayahnya juga di dalam Surah Al-An’am ayat 74. Nabi Ibrahim memulakan dakwah
kepada ayahnya selaku orang yang paling rapat dengannya. Ayah Nabi Ibrahim
ialah seorang yang musyrik dan menyembah berhala sebagaimana yang disebut
secara jelas di dalam Al-Quran. Terdapat beberapa pendapat di kalangan ulama
yang menyatakan bahawa orang diseru oleh Nabi Ibrahim itu bukanlah ayahnya,
bahkan bapa saudaranya. Ini kerana adalah tidak mungkin Nabi Ibrahim yang
merupakan abul-anbiya’ (bapa para nabi) berbapakan seorang musyrik dan
menyembah berhala.

Namun pendapat ini bukan merupakan pendapat yang rajih di kalangan ulama
mufassirin. Ini kerana Allah SWT dengan jelas sekali menggunakan lafaz  أبيه
yang membawa makna ayah dan bukan sesekali makna selain dari itu. Manakala
persoalan hidayah ialah urusan Allah SWT. Jika tidak demikian, maka mustahil
jugalah Nabi Nuh dan Nabi Lut beristerikan seorang yang kufur kepada Allah.
Malah anak Nabi Nuh sendiri menolak dakwah bapanya. Manakala Nabi Muhammad
SAW berbapa saudarakan seorang yang musyrik dan memusuhi Islam. Ini semua
menunjukkan bahawa persoalan hidayah dan petunjuk ialah urusan Allah SWT dan
seorang manusia terlepas daripada dosa kekufuran manusia yang lain.

Namun, dakwah Nabi Ibrahim ini ditolak mentah-mentah oleh ayahnya malah
diancam untuk dilontar dengan batu dan diusir daripada rumahnya.  Nabi
Ibrahim akhirnya mengambil pendirian untuk berpisah daripada ayahnya dan
berjanji untuk mendoakan keampunan kepada ayahnya.

Selepas itu, Nabi Ibrahim menujukan dakwah kepada kaumnya yang merupakan
penyembah cakerawala (Solah Al-Khalidi 1997 : 330 & 331). Allah SWT 
menceritakan peristiwa dialog ini di dalam Surah Al-An’am, ayat 76 – 81 :

فلما جن عليه الليل رأى كوكبا قال هذا ربي فلما أفل قال لا أحب الآفلين(76)فلما
رأى القمر بازغا قال هذا ربي فلما أفل قال لئن لم يهدني ربي لأكونن من القوم
الضالين(77) فلما رأى الشمس بازغة قال هذا ربي هذا أكبر فلما أفلت قال ياقوم
إني بريء مما تشركون(78)إني وجهت وجهي للذي فطر السماوات والأرض حنيفا وما أنا
من المشركين(79)وحاجه قومه قال أتحاجوني في الله وقد هداني ولا أخاف ما تشركون
به إلا أن يشاء ربي شيئا وسع ربي كل شيء علما أفلا تتذكرون(80)وكيف أخاف ما
أشركتم ولا تخافون أنكم أشركتم بالله ما لم ينزل به عليكم سلطانا فأي الفريقين
أحق بالأمن إن كنتم تعلمون(81)

Maksudnya :

Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang
(bersinar-sinar), lalu ia berkata: "Inikah Tuhanku?" Kemudian apabila
bintang itu terbenam, ia berkata pula: "Aku tidak suka kepada yang terbenam
hilang". Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya),
dia berkata: "Inikah Tuhanku?" Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah
dia: "Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku,
nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat". Kemudian apabila dia melihat
matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: "Inikah
Tuhanku? Ini lebih besar". Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: `
Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu
sekutukan (Allah dengannya). "Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku
kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas
dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah
(dengan sesuatu yang lain)". Dan ia dibantah oleh kaumnya, ia pun berkata:
"Patutkah kamu membantahku mengenai Allah, padahal sesungguhnya Ia telah
memberi hidayah petunjuk kepadaku? Dan aku pula tidak takut (akan sebarang
bahaya dari) apa yang kamu sekutukan dengan Allah, kecuali Tuhanku
menghendaki sesuatu dari bahaya itu. (Sesungguhnya) pengetahuan Tuhanku
meliputi tiap-tiap sesuatu, tidakkah kamu mahu (insaf) mengambil pelajaran?
"Dan bagaimanakah aku hendak takutkan apa yang kamu sekutukan dengan Allah
itu (yang tidak dapat mendatangkan sesuatu bahaya), padahal kamu tidak takut
bahawa kamu telah sekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan
sebarang keterangan kepada kamu mengenainya? Maka yang manakah di antara dua
puak itu yang lebih berhak mendapat keamanan (dari bahaya), jika betul kamu
mengetahui?"

            Sesetengah ahli mufassirin menyebut bahawa peristiwa yang
diceritakan oleh Allah SWT di dalam ayat-ayat di atas ialah persitiwa di
mana Nabi Ibrahim sedang mencari-cari tuhannya. Di antara yang mengemukakan
pendapat sebegini ialah At-Thabari (At-Thabari, Tafsir, 5 : 324) dan Syed
Qutb. Namun, kebanyakan ahli mufassirin menyatakan bahawa ayat-ayat ini
sebenarnya menceritakan tentang dakwah Nabi Ibrahim kepada kaumnya yang
merupakan penyembah cakerawala dan berhala. Dalam erti kata lain, Nabi
Ibrahim cuba menggunakan hujjah-hujjah yang nyata dan menggerakkan pemikiran
kaumnya agar menggunakan akal yang sihat untuk menentukan kebenaran di dalam
soal keyakinan dan aqidah (Ar-Razi, Tafsir, 7 : 51). Manakala baginda
sendiri pada masa  itu sudahpun dilantik menjadi nabi dan rasul oleh Allah
SWT. Selain daripada Surah Al-An’am, dakwah Nabi Ibrahim kepada kaumnya juga
disebut oleh Allah SWT di dalam Surah As-Syu’araa’, ayat 69 – 82 dan Surah
Al-Anbiyaa’, ayat 51 – 56.



Manhaj-manhaj Dakwah

            Di dalam bahagian dakwah Nabi Ibrahim yang pertama seperti yang
diceritakan di dalam Al-Quran ini, baginda menggunakan pelbagai manhaj yang
sesuai dengan sasaran dakwah iaitu bapanya sendiri.

            Sebagai langkah pertama, Nabi Ibrahim memilih untuk menggunakan
hujah dan ajakan supaya ayahnya berfikir dan membuat penilaian tentang
amalan penyembahan berhala yang diamalkan selama ini. Dimulakan ajakan
tersebut dengan perkataan أبت  yang bermaksud ayah kesayanganku. Perkataan
sebegini dianggap begitu penting dalam urusan penyampaian dakwah supaya
sasaran dakwah merasakan bahawa dakwah yang disampaikan adalah untuk
kebaikan dirinya sendiri. Ia adalah bertujuan menyelamatkan dirinya dari
menjadi bahan kemurkaan Allah SWT di akhirat kelak.

            Nabi Ibrahim seterusnya menegaskan bahawa berhala yang disembah
oleh ayahnya selama ini sama sekali tidak dapat mendatangkan sedikitpun
apa-apa kebaikan dan mudharat kepada penyembahnya. Ia juga tidak dapat
menepis apa-apa jua kemudharatan yang akan menimpa dirinya sendiri. Gesaan
sebegini adalah bertujuan supaya ayahnya berfikir faedah apakah yang
diperolehi dengan menyembah berhala yang tidak lebih daripada batu-batu atau
kayu-kayu yang tidak dapat mendatangkan mudharat walaupun sedikit. Bukan
mudah untuk seorang penyembah berhala yang sudah menjadikan amalan
penyembahan berhala sebagai satu amalan zaman berzaman untuk menganggap
bahawa dirinya sedang melakukan amalan yang sia-sia. Perubahan paradigma
yang dituntut oleh Nabi Ibrahim ini ialah satu perubahan pemikiran yang
sukar sekali untuk dilakukan oleh ayahnya sendiri. Ekoran daripada itulah,
Nabi Ibrahim memilih untuk menggunakan bahasa yang paling baik dan lembut
apabila menyampaikan mesej dakwah ini.

            Di dalam proses untuk mengajak ayahnya meninggalkan amalan
penyembahan berhala ini juga, Nabi Ibrahim menegaskan bahawa ajakan ini
berpunca dari kebimbangannya bahawa ayahnya akan diseksa oleh Allah SWT
akibat kekufurannya. Inilah sifat seorang pendakwah yang melakukan gerak
kerja dakwah semata-mata kerana Allah SWT. Seorang pendakwah semestinya
mempunyai rasa belas ihsan di dalam hatinya terhadap sasaran dakwah. Seruan
dakwah dilakukan ialah kerana ingin menyelamatkan manusia dari azab seksa di
akhirat akibat dari kekufuran di muka bumi ini. Perasaan kasih dan sayang
inilah yang menjadikan sasaran dakwah sepatutnya terkesan dengan dakwah yang
disampaikan kepada mereka. Adalah mustahil mereka boleh menolak seruan
dakwah sedangkan begitu jelas disedari bahawa seruan dakwah tersebut ialah
untuk kebaikan mereka sendiri semata-mata.

            Namun, seruan Nabi Ibrahim kepada ayahnya itu tetap ditolak
mentah-mentah malah ayahnya mengancam untuk melontarnya dengan batu
sekiranya dakwah tersebut tidak dihentikan. Inilah ujian pertama di dalam
kehidupan dakwah Nabi Ibrahim dan ternyata ia berjaya ditempuhi dengan tabah
sebagaimana seharusnya seorang pendakwah yang sebenar.

            Seterusnya apabila Nabi Ibrahim dihalau keluar oleh ayahnya,
baginda berjanji untuk memohon keampunan kepada Allah SWT di atas keingkaran
bapanya yang enggan menerima kebenaran. Di sini, Nabi Ibrahim menunjukkan
dengan jelas bagaimana perasaan sayangnya yang begitu mendalam terhadap
ayahnya sekalipun seruannya telah ditolak mentah-mentah. Perasaan inilah
yang mendorong Nabi Ibrahim memohon supaya Allah mengampunkan dosa-dosa
ayahnya. Bagaimanpun, apabila sudah nyata dan jelas bahawa ayahnya ialah
musuh Allah SWT, maka baginda berhenti memohon keampunan. Allah SWT
menjelaskan  perkara ini di dalam firmanNya (At-Taubah : 114) :

وما كان استغفار إبراهيم لأبيه إلا عن موعدة وعدها إياه فلما تبين له أنه عدو
لله تبرأ منه إن إبراهيم لأواه حليم

Maksudnya :

            Dan bukanlah istighfar Nabi Ibrahim bagi bapanya (dibuat)
melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan kepadanya; dan apabila
ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya musuh bagi Allah, ia pun
berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi
penyabar.

            Sifat Nabi Ibrahim yang ingin memohon ampun daripada Allah SWT
menjelaskan satu lagi manhaj pendakwah iaitu tidak memutuskan sebarang
talian silaturrahim dengan sasaran dakwah sekalipun berlainan agama.
Walalupun demikian, kasih sayang dan tali persaudaraan haruslah wujud
satakat mana yang dibenarkan oleh Islam sendiri. Ini sesuai dengan firman
Allah SWT (Al-Mujadalah, 22) :

لا تجد قوما يؤمنون بالله واليوم الآخر يوادون من حاد الله ورسوله ولو كانوا
آباءهم أو أبناءهم أو إخوانهم أو عشيرتهم أولئك كتب في قلوبهم الإيمان وأيدهم
بروح منه..(الأية)

Maksudnya :

            Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah
dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang
(perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu
ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka,
ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan
iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat
pertolongan daripadaNya…



            Nabi Ibrahim kemudiannya menujukan dakwah kepada kaumnya yang
merupakan penyembah cakerawala. Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini,
dialog Nabi Ibrahim  yang disebutkan di dalam Surah Al-An’am, ayat 76 – 81
tersebut bukanlah peristiwa pencarian tuhan seperti yang disebutkan oleh
beberapa mufassirin namun merupakan dialog di antara Nabi Ibrahim dengan
kaumnya. Dalam erti kata lain, kata-kata tersebut ialah sebahagian daripada
perdebatan antara Nabi Ibrahim dengan kaumnya tentang ketuhanan.

            Ketika Nabi Ibrahim berkata "Inikah Tuhanku?", ia bukanlah
merujuk kepada Nabi Ibrahim sendiri yang sedang mencari-cari tuhan, namun ia
merujuk kepada kenyataan dan persoalan yang diajukan oleh  Nabi Ibrahim
kepada kaumnya, adakah bintang, bulan dan matahari yang kamu jadikan sebagai
tuhan ini merupakan tuhan yang sebenarnya? Sesungguhnya ini semua sama
sekali tidak layak disembah sebagai tuhan kerana ia boleh muncul dan
tenggelam (Solah Al-Kahlidi, 1997 : 331 – 332). Ini berdasarkan kepada
susunan ayat di dalam Surah Al-An’am iaitu sebelum Allah SWT menceritakan
tentang dialog Nabi Ibrahim, telah ditegaskan di dalam aat 76 bahawa Nabi
Ibrahim sudah termasuk di dalam golongan muqinin yang bermaksud orang-orang
yang yakin.

            Semasa berdepan dengan kaumnya, Nabi Ibrahim juga menggunakan
hujjah-hujjah yang bertujuan untuk menggerakkan akal dan minda kaumnya
supaya berfikir secara rasional dalam menentukan pendirian di dalam soal
aqidah. Ini adalah kerana pemikiran yang rasional pastinya menolak ketuhanan
cakerawala yang disembah sebagai tuhan sedangkan ia mempunyai sifat
kekurangan iaitu timbul dan tenggelam.

            Nabi Ibrahim juga menggunakan manhaj yang tidak tergesa-gesa di
dalam menyampaikan mesej dakwah. Semua mesej dakwah disampaikan secara
teratur dan tersusun bagi memudahkannya difahami dengan jelas oleh sasaran
dakwah. Setiap hujjah yang disampaikan mempunyai susun atur yang tersendiri.
Seandainya Nabi Ibrahim tergesa-gesa di dalam menyampaikan mesej dakwah,
pasti ia akan dapat dibantah seterusnya ditolak tanpa sebarang pertimbangan
oleh kaumnya.







BAB KETIGA : NABI IBRAHIM BERDAKWAH KEPADA SEORANG RAJA

Allah SWT menceritakan episod dakwah Nabi Ibrahim ini di dalam Surah
Al-Baqarah, ayat 258 :

ألم تر إلى الذي حاج إبراهيم في ربه أن آتاه الله الملك إذ قال إبراهيم ربي
الذي يحيي ويميت قال أنا أحيي وأميت قال إبراهيم فإن الله يأتي بالشمس من
المشرق فأت بها من المغرب فبهت الذي كفر والله لا يهدي القوم الظالمين

Maksudnya :

            Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang
orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai
Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi
Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan". Ia
menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim berkata
lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu
terbitkanlah dia dari barat?" Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu
diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada
kaum yang zalim.



Ini ialah peringkat seterusnya dalam usaha dakwah Nabi Ibrahim. Selepas
daripada Nabi Ibrahim berdakwah kepada ayahnya di dalam peringkat permulaan
dan kemudiannya kepada kaumnya di dalam peringkat kedua, Nabi Ibrahim
meneruskan usaha dakwahnya kepada peringkat yang lebih tinggi iaitu kepada
raja kaumnya.  Disebut oleh para mufassirin bahawa selepas Nabi Ibrahim
menyampaikan dakwah  kepada ayah dan kaumnya, dakwah tersebut tersebar
sehinggalah sampai ke pengetahuan seorang raja di zamannya yang mengaku
mempunyai kuasa ketuhanan.  Lalu berlakulah dialog dan perdebatan di antara
Nabi Ibrahim dengan raja tersebut tentang ketuhanan.

Tidak disebut di dalam mana-mana nas dengan jelas nama raja tersebut. Juga
tidak terdapat sebarang dalil yang menyokong mana-mana keterangan di dalam
Al-Quran mahupun hadis. Selain dari itu, tidak juga terdapat keterangan
tentang kekuasaannya, nama kerajaannya dan lain-lain.

Di dalam beberapa riwayat Israiliyyat, disebut bahawa nama raja tersebut
ialah Namrud (Solah Al-Khalidi, 1997 : 337). Nama Namrud ini juga turut
diriwayatkan dari beberapa sahabat termasuk Ali bin Abi Talib (Sayuti,
Tafsir, 2 : 24). Namun tentu sekali ia tidak dapat diyakini memandangkan
sumbernya yang diragui serta sandarannya yang tidak berdasarkan kepada
mana-mana nas Al-Quran mahupun hadis Rasulullah SAW.

Apa yang boleh dipercayai ialah raja tersebut tentunya seorang yang kafir,
mendakwa dirinya mempunyai kuasa ketuhanan, dan manusia di zamannya
menjadikan dirinya sebagai salah satu tuhan yang disembah. Lalu Nabi Ibrahim
berhadapan dengannya di dalam satu majlis perdebatan bagi menentukan
kebenaran dan kebatilan di sebalik segala dakwaaan raja tersebut.

Nabi Ibrahim memulakan hujjahnya dengan mengatakan bahawa tuhannya iaitu
Allah SWT berupaya untuk menghidupkan dan mematikan. Raja tersebut
seterusnya membalas bahawa dia juga boleh menghidupkan dan mematikan. Lalu
dia memerintahkan supaya didatangkan dua orang lelaki yang sudah dijatuhi
hukuman mati, kemudian diperintahkan supaya dibebaskan salah seorang lelaki
tersebut manakala seorang lagi dibunuh. Raja tersebut seterusnya menegaskan
bahawa itulah maksud bahawa dia juga berkuasa untuk menghidupkan dan
mematikan (Ibnu Kathir, 1994 : 386).

Nabi Ibrahim beralih kepada hujjah yang kedua di mana baginda menyatakan
bahawa Allah SWT berkuasa untuk mendatangkan matahari daripada timur dan
menenggelamkannya di arah Barat. Raja tersebut dicabar untuk mendatangkan
matahari dari arah Barat bagi menunjukkan bahawa dia lebih berkuasa daripada
Allah SWT. Raja tersebut tidak dapat memenuhi cabaran itu lalu seterusnya
hanya mampu berdiam diri (Ibnu Kathir, 1994 : 386).  Namun demikian, dia
tetap juga tidak beriman dengan Nabi Ibrahim.



Manhaj-manhaj Dakwah

            Berdepan dengan penguasa untuk menyatakan kebenaran bukanlah
satu tugas yang senang untuk dilakukan. Perbuatan sedemikian boleh
mendatangkan kesusahan dan kemudharatan sekiranya pendakwah tidak
benar-benar yakin kepada Allah SWT. Nabi Ibrahim terbukti terdiri daripada
kalangan orang-orang yang yakin kepada Allah SWT apabila baginda berani
berdiri berdepan dengan raja yang mengaku dirinya mempunyai kuasa ketuhanan.

            Oleh kerana itulah , Allah SWT menyifatkan peristiwa ini sebagai
peristiwa yang penting dan memulakan kisah tersebut dengan perkataan ألم تر 
yang bermaksud Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad).
Sekalipun ayat ini ditujukan dengan Nabi Muhammad SAW, namun ia jelas sekali
meminta supaya pembaca-pembaca Al-Quran mengambil iktibar dari peristiwa
perdebatan di antara Nabi Ibrahim dan raja tersebut. Apa yang penting ialah
bagaimana keyakinan dan kekuatan hujjah Nabi Ibrahim semasa berdepan dengan
seorang yang mempunyai kuasa dan pengaruh. Dalam hal ini, butiran peribadi
raja tersebut tidak disebut dengan jelas kerana itu bukanlah tujuan
penceritaan peristiwa tersebut.

            Nabi Ibrahim memulakan hujjah dengan menyatakan bahawa Allah SWT
berkuasa untuk menghidupkan dan mematikan. Sebagaimana yang telah sedia
maklum bahawa persoalan kematian dan kehidupan ialah persoalan penting dalam
kehidupan manusia. Malah jika dilihat secara jujur, sepatutnya tidak ada
seorangpun di kalangan manusia yang mendakwa dirinya mempunyai kuasa untuk
menghidupkan dan mematikan. Pastinya manusia mengetahui bahawa bukan dirinya
yang menghidupkan, memberi rezeki, menetapkan jodoh dan takdir dan juga
mendatangkan kematian. Nabi Ibrahim memilih persoalan semudah ini untuk
membuktikan bahawa Allah SWT merupakan tuhan yang berhak disembah. Hujjah
yang dibawa oleh Nabi Ibrahim mengandungi satu pengajaran bahawa untuk
memulakan sebarang usaha dakwah, hujjah dan proses pembuktian haruslah
berlegar sekitar persoalan-persoalan yang mampu difikirkan oleh sasaran
dakwah.

            Sepatutnya hujjah pertama daripada Nabi Ibrahim sudah mampu
untuk menyedarkan raja tersebut betapa kerdilnya kuasa yang dia miliki.
Namun, kepentingan untuk terus berkuasa sebagai tuhan yang disembah manusia
mengaburi hati sehingga tidak dapat menerima kebenaran hujjah Nabi Ibrahim.
Lantaran itu, raja tersebut membantah hujjah Nabi Ibrahim dengan
mendatangkan hujjah yang rapuh dan tidak boleh diterima oleh akal. Perbuatan
raja tersebut mendatangkan dua orang lelaki lalu diperintah supara dibunuh
salah seorang darinya dan dilepaskan seorang yang lain ialah perbuatan yang
tidak boleh dikira sebagai hujjah. Sifat ‘menghidupkan’ seperti yang didakwa
dimiliki oleh raja tersebut jauh berbeza sama sekali dengan sifat
‘menghidupkan’ yang dimiliki oleh Allah SWT. Hakikat ini disedari oleh raja
tersebut, namun kepentingan untuk terus berkuasa sebagai tuhan menyebabkan
dirinya tidak mahu mengalah kepada Nabi Ibrahim. Pendakwah perlu
berhati-hati dan sentiasa bersedia untuk berdepan dengan golongan seperti
ini. Inilah golongan yang sudah mempunyai hati yang keras dan tidak mahu
lagi menerima kebenaran sekalipun ia sudah jelas menjelma di hadapan mereka.

            Nabi Ibrahim tidak berhenti setakat itu sahaja. Seorang
pendakwah seharusnya licik mengemukakan hujjah dan kepintaran berhujahlah
yang menjadi bekal utama kepada Nabi Ibrahim untuk berdepan dengan raja
tersebut. Apa yang pasti ialah Nabi Ibrahim tentunya sudah menguasai seni
komunikasi dan mempunyai kepintaran dalam mengemukakan hujjah. Methodologi
yang digunakan oleh Nabi Ibrahim adalah contoh yang terbaik kepada para
pendakwah dalam mengemukakan mesej dakwah. Para pendakwah semestinya
menguasai seni berhujjah agar dapat menjadikan ia sebagai satu senjata dalam
menyebarkan dakwah. Islam sendiri adalah merupakan sebuah agama yang tidak
membenarkan sama sekali wujudnya kepercayaan taklid buta yang tidak
bersandarkan kepada ilmu dan hujjah. Ini ditegaskan oleh Allah SWT  (Surah
Al-Baqarah :  111) :

قل هاتوا برهانكم إن كنتم صادقين

Maksudnya :

            Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari
keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan
itu, jika betul kamu orang-orang yang benar".

            Hujjah Nabi Ibrahim yang seterusnya ialah berkaitan dengan alam
semesta sendiri. Nyata sekali, seandainya Nabi Ibrahim berdepan dengan
kaumnya, baginda turut menggunakan hujjah yang berkaitan dengan alam
semesta, begitu juga apabila berdepan dengan raja yang merupakan seorang
pemimpin, baginda turut menggunakan hujjah yang mempunyai kaitan rapat
dengan pemerhatian terhadap alam semesta. Ia adalah satu simbolik yang cukup
jelas dalam menggambarkan rapatnya hubungan di antara kaum Nabi Ibrahim
dengan alam semesta. Apatah lagi, antara sembahan kaum Nabi Ibrahim selain
dari berhala-berhala ialah alam semesta sendiri. Mereka menyembah bintang,
bulan dan matahari.  Oleh kerana itulah, apabila Nabi Ibrahim berhujjah,
baginda menggunakan contoh dan perbandingan yang mempunyai kaitan rapat
dengan pendengar dan sasaran dakwah. Allah SWT turut mengajar pendakwah
menggunakan pendekatan sedemikian semasa mengemukakan mesej dakwah. Jika
diperhatikan, Allah SWT sendiri menggunakan contoh dan perbandingan yang
mempunyai kaitan rapat dengan pembaca Al-Quran yang terdiri daripada bangsa
Arab semasa berfirman (Surah Al-Ghaasyiyah : 17)  :

أفلا ينظرون إلى الإبل كيف خلقت

Maksudnya :

            (Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah
mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?

Umum mengetahui bahawa kaum Arab begitu rapat dengan penggunaan unta sebagai
binatang tunggangan. Maka Allah SWT menjadikan unta sebagai satu
perbandingan yang cukup jelas dalam menyatakan kekuasaanNya. Oleh yang
demikian, golongan pendakwah amatlah dikehendaki menjadikan manhaj ini
sebagai contoh dalam menyampaikan mesej kepada sasaran. Kebijaksanaan dalam
mengatur hujjah dan menyusun contoh-contoh yang rapat dengan sasaran dakwah
adalah satu keperluan yang cukup ketara kepada pendakwah.

            Apabila Nabi Ibrahim mencabar raja tersebut supaya mendatangkan
matahari dari arah Barat bertentangan dari arah terbitnya yang biasa sebelum
ini, Al-Quran menceritakan raja tersebut diam tanpa dapat berhujah apa-apa.
Bagaimanapun tidak diceritakan sama sekali adakah raja tersebut menerima
seruan dakwah Nabi Ibrahim atau menolaknya. Walaupun demikian, apabila Allah
SWT menyebut selepas daripada kisah tersebut Dan (ingatlah), Allah tidak
akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim (Al-Baqarah, 258), ini
membawa makna tersirat bahawa raja tersebut tetap dengan keengganannya untuk
menerima dakwah Nabi Ibrahim dan mengakui  kebenarannya. Keengganan raja
tersebut menerima dakwah Nabi Ibrahim mewakili sifat manusia yang
sememangnya degil untuk menerima kebenaran. Golongan seperti ini sentiasa
wujud dari zaman berzaman. Mereka sama sekali tidak akan tunduk kepada
kebenaran sekalipun sudah nyata dan jelas mereka tidak mampu untuk berdepan
dengan kebenaran Islam dengan berhujjah. Allah SWT menegaskan perkara ini di
dalam Surah Al-An’am, ayat 111 :

ولو أننا نزلنا إليهم الملائكة وكلمهم الموتى وحشرنا عليهم كل شيء قبلا ما
كانوا ليؤمنوا إلا أن يشاء الله ولكن أكثرهم يجهلون

Maksudnya :

Dan jika Kami turunkan malaikat pun kepada mereka, dan orang-orang yang mati
(hidup semula lalu) berkata-kata dengan mereka, dan kami himpunkan pula
tiap-tiap sesuatu di hadapan mereka (untuk menjadi saksi tentang kebenaran
Nabi Muhammad), nescaya mereka tidak juga akan beriman, kecuali jika
dikehendaki Allah; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat yang
sebenar).







BAB KEEMPAT : NABI IBRAHIM MENGHANCURKAN BERHALA DAN BAGINDA DILEMPARKAN KE
DALAM API

Apabila  Nabi Ibrahim menyeru ayahnya supaya menerima kebenaran, seruannya
ditolak. Begitu juga yang berlaku apabila baginda menyeru kaum dan raja di
zamannya, seruannya juga ditolak. Maka Nabi Ibrahim seterusnya melihat sebab
utama seruannya ditolak ialah kerana wujudnya berhala-berhala yang dianggap
sebagai tuhan oleh kaumnya. Nabi Ibrahim kemudiannya mengambil langkah untuk
menghancurkan berhala-berhala tersebut. Peristiwa ini dinyatakan beberapa
kali di dalam Al-Quran. Antaranya ialah di dalam Surah Al-Anbiya’, ayat 57 -
70 sebagaimana berikut :

وتالله لأكيدن أصنامكم بعد أن تولوا مدبرين(57)فجعلهم جذاذا إلا كبيرا لهم
لعلهم إليه يرجعون(58)قالوا من فعل هذا بآلهتنا إنه لمن الظالمين(59)قالوا
سمعنا فتى يذكرهم يقال له إبراهيم(60)قالوا فأتوا به على أعين الناس لعلهم
يشهدون(61) قالوا أأنت فعلت هذا بآلهتنا ياإبراهيم(62)قال بل فعله كبيرهم هذا
فاسألوهم إن كانوا ينطقون(63)فرجعوا إلى أنفسهم فقالوا إنكم أنتم
الظالمون(64)ثم نكسوا على رءوسهم لقد علمت ما هؤلاء ينطقون(65)قال أفتعبدون من
دون الله ما لا ينفعكم شيئا ولا يضركم(66)أف لكم ولما تعبدون من دون الله أفلا
تعقلون(67)قالوا حرقوه وانصروا آلهتكم إن كنتم فاعلين(68) قلنا يانار كوني بردا
وسلاما على إبراهيم(69)وأرادوا به كيدا فجعلناهم الأخسرين(70)

Maksudnya :

            "Dan demi Allah, aku akan jalankan rancangan terhadap
berhala-berhala kamu, sesudah kamu pergi meninggalkan (rumah berhala ini)".
Lalu ia memecahkan semuanya berketul-ketul, kecuali sebuah berhala mereka
yang besar (dibiarkannya), supaya mereka kembali kepadanya. (Setelah melihat
kejadian itu) mereka bertanya: "Siapakah yang melakukan perbuatan yang
demikian terhadap tuhan-tuhan kami? Sesungguhnya adalah ia dari orang-orang
yang zalim". (Setengah dari) mereka berkata: "Kami ada mendengar seorang
anak muda bernama Ibrahim, mencacinya". (Ketua-ketua) mereka berkata: "Jika
demikian, bawalah dia di hadapan orang ramai supaya mereka menyaksikan
(tindakan mengenainya). (Setelah ia dibawa ke situ) mereka bertanya:
"Engkaukah yang melakukan demikian kepada tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim?"
(Setelah ia dibawa ke situ) mereka bertanya: "Engkaukah yang melakukan
demikian kepada tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim?" Ia menjawab: "(Tidak) bahkan
yang melakukannya ialah (berhala) yang besar di antara mereka ini! Maka
bertanyalah kamu kepada mereka kalau-kalau mereka dapat berkata-kata".Maka
mereka (penyembah berhala) kembali kepada diri mereka (memikirkan hal itu)
lalu berkata (sesama sendiri): "Sesungguhnya kamulah sendiri orang-orang
yang zalim".Kemudian mereka terbalik fikirannya kepada kesesatan, lalu
berkata: "Sesungguhnya engkau (hai Ibrahim), telah sedia mengetahui bahawa
berhala-berhala itu tidak dapat berkata-kata (maka betapa engkau menyuruh
kami bertanya kepadanya)?" Nabi Ibrahim berkata: "Jika demikian, patutkah
kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan
faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat
kepada kamu? "Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain
Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?" (Setelah
tidak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: "Bakarlah dia dan
belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya!" Kami
berfirman: "Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada
Ibrahim! ".Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya itu) hendak melakukan
angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang amat
rugi, (kalah dengan hinanya).

            Selain daripada Surah Al-Anbiya’, kisah Nabi Ibrahim
menghancurkan berhala juga disebut oleh Allah SWT di dalam Surah As-Shaffat,
ayat 83 – 94. Berlainan dengan Surah Al-Anbiya’, Surah As-Shaffat
menceritakan bagaimana Nabi Ibrahim memberitahu kaumnya bahawa baginda sakit
dan tidak dapat turut keluar berhari raya bersama-sama dengan kaumnya.

Seterusnya, Nabi Ibrahim ditinggalkan keseorangan namun sebelum daripada
itu, Nabi Ibrahim telah merancang untuk melakukan sesuatu kepada
berhala-berhala sembahan kaumnya. Al-Quran memberitahu bahawa Nabi Ibrahim
telah bersumpah dengan nama Allah untuk melakukan sesuatu terhadap
berhala-berhala tersebut, namun lafaz tersebut tidak didengari oleh kaumnya
kecuali beberapa orang sahaja. (Ibnu Kathir, 3 : 223). Nabi Ibrahim lalu
memasuki tempat tersimpannya berhala-berhala dan mendapati terdapat
makanan-makanan di hadapan berhala-berhala tersebut. Sebagaimana yang
disebut di dalam ayat 81-82 Surah As-Shaffat,  Nabi Ibrahim bertanya kepada
berhala-berhala tersebut dalam keadaan mengejek kenapakah mereka tidak
menyentuh makanan-makanan tersebut.

Apabila berhala-berhala tersebut tidak menjawab, Nabi Ibrahim lantas
menghancurkan berhala-berhala tersebut satu persatu dengan menggunakan
tangan kanannya. Di dalam Surah Al-Anbiya’ ayat 58 menyebut bahawa Nabi
Ibrahim hanya meninggalkan berhala yang paling besar. Apabila kaumnya
kembali ke tempat mereka, mereka lantas bertanya sesama sendiri siapakah
yang melakukan perkara tersebut terhadap berhala-berhala sembahan mereka.
Lalu, Nabi Ibrahim menjadi orang yang disyaki kerana celaannya kepada
berhala-berhala tersebut sebelum itu. Nabi Ibrahim lantas dibawa ke muka
pengadilan untuk disiasat dan dijatuhkan hukuman.

Di sinilah berlakunya perdebatan di antara Nabi Ibrahim dan kaumnya apabila
Nabi Ibrahim mencabar mereka supaya bertanya kepada berhala yang paling
besar. Bahkan Nabi Ibrahim menegaskan bahawa yang melakukan perkara tersebut
ialah berhala yang paling besar. Ini bukanlah bererti Nabi Ibrahim telah
berbohong, bahkan ia merupakan satu herdikan kepada penyembah-penyembah
berhala itu. Ini kerana, tidak dapat tidak kaumnya sebenarnya sudah meyakini
bahawa orang yang melakukan perbuatan itu ialah Nabi Ibrahim. Cabaran Nabi
Ibrahim tersebut sebenarnya sudah mampu mengalahkan kaumnya sekiranya diukur
dari sudut kekuatan hujjah, namun kaumnya tetap berdegil untuk tidak
menerima kebenaran yang dibawa oleh Nabi Ibrahim. Kedegilan tersebut
akhirnya diserlahkan dengan menghukum Nabi Ibrahim supaya dibakar
hidup-hidup. Di dalam Surah As-Shaffat, ayat 97 diceritakan bahawa kaumnya
membina satu tempat yang khusus untuk membakar Nabi Ibrahim namun Nabi
Ibrahim diselamatkan oleh Allah SWT. Api yang menjulang-julang ternyata
tidak membakar Nabi Ibrahim apabila baginda dicampakkan ke dalamnya.



Manhaj-manhaj Dakwah

            Di dalam peristiwa penghancuran berhala ini, Nabi Ibrahim
menggunakan beberapa manhaj yang tidak pernah digunakan sebelumnya.
Antaranya ialah, tipudaya yang bertujuan untuk melakukan kebaikan. Ini
terbukti apabila Nabi Ibrahim menyatakan kepada kaumnya إني سقيم  yang
bermaksud aku sakit. Bagaimanapun, lafaz سقيم di dalam kata-kata Nabi
Ibrahim tersebut mengandungi pelbagai maksud. Sekalipun maksud zahirnya
ialah sakit, namun apa yang dimaksudkan oleh Nabi Ibrahim ialah ‘sakit’ hati
dan sanubari akibat apa yang dilakukan oleh kaumnya (Solah Al-Khalidi, 1997,
1 : 345). Lafaz tersebut difahami oleh kaumnya sebagai sakit yang sebenar
iaitu sakit jasmani. Apa yang ingin diutarakan ialah bagaimana kepintaran
Nabi Ibrahim menggunakan lafaz yang tidak boleh dianggap sebagai berbohong
namun difahami dengan maksud lain oleh kaumnya. Islam membenarkan
muslihart-muslihat sebegini selagi mana ia bertujuan untuk kebaikan dan
kemaslahatan dakwah. Tidak semua tempat diwajibkan bercakap benar sehingga
membahayakan gerakan dakwah. Konsep hazr (kerahsiaan) dalam gerakan dakwah
menjadi satu teras kepada mana-mana gerakan Islam yang berdepan dengan
cabaran dan tribulasi di hadapan mereka.

            Selain daripada itu, Al-Quran menunjukkan dengan jelas bagaimana
Nabi Ibrahim mempunyai perancangan-perancangannya yang tersendiri di dalam
menghancurkan berhala-berhala sembahan kaumnya. Allah SWT berfirman di dalam
Surah As-Shaffat, ayat 81 – 82 :

فنظر نظرة في النجوم(88)فقال إني سقيم(89)

Maksudnya :

            Kemudian ia memandang dengan satu renungan kepada
bintang-bintang (yang bertaburan di langit), Lalu berkata: "Sesungguhnya aku
merasa sakit (tak dapat turut berhari raya sama)".

Pandangan Nabi Ibrahim kepada bintang-bintang adalah bertujuan untuk
mengukur waktu yang sesuai untuk menghancurkan berhala-berhala. Dengan
melihat kepada bintang-bintang, nyatalah bahawa waktu untuk kaumnya berhari
raya sudahpun hampir dan ini bererti berhala-berhala tersebut akan
ditinggalkan tanpa sebarang penjaga. Ini membawa makna bahawa Nabi Ibrahim
sudahpun merancang tindakannya dari awal lagi. Perancangan ini juga boleh
dilihat di dalam kata-kata Nabi Ibrahim di dalam Surah Al-Anbiyaa’, ayat 57
:

وتالله لأكيدن أصنامكم بعد أن تولوا مدبرين

Maksudnya :

            "Dan demi Allah, aku akan jalankan rancangan terhadap
berhala-berhala kamu, sesudah kamu pergi meninggalkan (rumah berhala ini)".

Kata-kata Nabi Ibrahim ini diucapkan sebelum daripada kaumnya berangkat
keluar dan tidak didengari kecuali oleh beberapa orang sahaja. Ini semua
menunjukkan bahawa gerak kerja untuk menghancurkan berhala-berhala tersebut
biarpun dilakukan di dalam masa yang singkat, namun perancangan untuk
melakukannya sudahpun diatur sejak daripada awal lagi. Terbuktilah bahawa
Nabi Ibrahim ialah seorang yang bertindak secara terancang. Perancangan dan
penjadualan dalam gerak kerja seperti inilah yang mahu ditonjolkan di dalam
kisah Nabi Ibrahim ini. Proses untuk menyebarkan dakwah sewajarnya dilakukan
secara terancang dan tersusun, bukan hanya sekadar membiarkan gerak kerja
dakwah bergerak tanpa perancangan.  Seandainya Nabi Ibrahim tidak mempunyai
perancangan yang betul, pastilah tindakannya untuk menghancurkan
berhala-berhala tersebut tidak akan berjaya dan menemui kegagalan. Begitulah
juga di dalam proses gerak kerja dakwah, sebarang tindakan yang tidak
disertai dengan perancangan kebiasaannya tidak berjaya. Malah seandainya ia
mendapat kejayaan sekalipun, ia pasti tidak sebesar yang diharapkan. Allah
SWT berfirman (Surah As-Shaff, ayat 4) :

الله يحب الذين يقاتلون في سبيله صفا كأنهم بنيان مرصوص

Maksudnya :

            Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk
membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah
bangunan yang tersusun kukuh.

Gerak kerja terancang Nabi Ibrahim juga boleh dilihat daripada tindakannya
menghancurkan semua berhala-berhala kecuali yang paling besar. Ini disebut
di dalam Surah Al-Anbiyaa’, ayat 58. Jelaslah bahawa Nabi Ibrahim sudahpun
merancang daripada awal lagi bahawa perbahasan antara baginda dan kaumnya
pasti akan berlaku. Oleh yang demikian, berhala yang paling besar itulah
yang akan dijadikan sebagai bahan hujjah apabila berdepan dengan kaumnya
nanti. Cabaran yang akan dikemukakan oleh Nabi Ibrahim iaitu supaya kaumnya
mengajukan pertanyaan kepada berhala yang paling besar sudahpun dirancang
sejak daripada awal lagi. Semua ini membuktikan bahawa sebarang gerak kerja
di dalam urusan dakwah haruslah dirancang dengan teliti satu persatu sebelum
dilaksanakan.

            Pengajaran seterusnya daripada kisah penghancuran berhala ini
dapat dilihat daripada kata-kata orang-orang kafir tersebut iaitu "Kami ada
mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya". Kata-kata ini
membuktikan bahawa Nabi Ibrahim ketika bertindak menghancurkan berhala masih
lagi merupakan seorang anak muda. Umur baginda secara tepat tidak
dinyatakan, namun secara umumnya, seorang anak muda tentulah tidak lebih
dari umur 40 tahun. Ia membuktikan bahawa pemuda sebenarnya aset penting
kepada gerakan dakwah. Umur muda Nabi Ibrahim tidak digunakan untuk
berseronok tetapi digunakan untuk melakukan sesuatu yang menjadi sebutan
sejarah turun temurun. Inilah martabat pemuda yang sebenar di dalam Islam.
Al-Quran juga menceritakan kisah  Ashabul Kahfi dengan menyebut lafaz
pemuda. Firman Allah SWT (Al-Kahfi, ayat 13) :

نحن نقص عليك نبأهم بالحق إنهم فتية آمنوا بربهم وزدناهم هدى

Maksudnya :

            Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan
benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan
mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.

Lafaz pemuda di dalam ayat ini lebih jelas daripada lafaz pemuda yang
disebut di dalam kisah Nabi Ibrahim. Ini kerana lafaz pemuda di dalam Surah
Al-Anbiya’ diucapkan oleh orang-orang kafir tetapi di dalam Surah Al-Kahfi
adalah firman Allah SWT sendiri. Bagaimanapun, kedua-dua diterima sebagai
pemuda kerana di dalam Surah Al-Anbiya’, tidak terdapat sebarang penafian
terhadap kata-kata orang-orang kafir tersebut. Apa yang nyata dan jelas
ialah, Nabi Ibrahim dan Ashabul Kahfi terdiri daripada orang-orang yang muda
semasa melakar sejarah sebagai para pejuang. Oleh yang demikian, di dalam
merencanakan gerakan dakwah masa kini, golongan pemuda tidak sepatutnya
ketinggalan untuk turut sama membantu memberikan sumbangan kepada gerakan
dakwah.

            Kepintaran Nabi Ibrahim berhujjah dapat dilihat seterusnya di
dalam jawapan baginda ketika ditanya oleh orang-orang kafir tentang
berhala-berhala yang dihancurkan itu. Nabi Ibrahim menjawab, "(Tidak) bahkan
yang melakukannya ialah (berhala) yang besar di antara mereka ini! Maka
bertanyalah kamu kepada mereka kalau-kalau mereka dapat berkata-kata". Helah
inilah yang sebenarnya dirancang oleh Nabi Ibrahim sejak daripada awal lagi
iaitu memindahkan beban tuduhan kepada berhala yang paling besar. Ia adalah
bertujuan supaya kaumnya berfikir betapa silapnya mereka menjadikan berhala
sebagai sembahan selama ini. Seandainya berhala-berhala tersebut berkuasa,
sepatutnya mereka boleh mempertahankan diri mereka daripada dihancurkan.
Tambahan pula, mereka ‘dikawal’ oleh berhala yang paling besar. Namun, itu
semua tidak berlaku sebagaimana sepatutnya. Inilah ruang yang digunakan
sebaik-baiknya oleh Nabi Ibrahim untuk mengajak kaumnya menggunakan akal
dalam membuat pendirian dalam soal akidah.

            Nabi Ibrahim sebenarnya sudah berjaya dan mendapat kemenangan
dari sudut rasional dan hujjah. Ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Surah
Al-Anbiya’, ayat 64 :

فرجعوا إلى أنفسهم فقالوا إنكم أنتم الظالمون

Maksudnya :

            Maka mereka (penyembah berhala) kembali kepada diri mereka
(memikirkan hal itu) lalu berkata (sesama sendiri): "Sesungguhnya kamulah
sendiri orang-orang yang zalim".

Dinyatakan dengan jelas bahawa penyembah-penyembah berhala itu kembali
kepada diri mereka iaitu fitrah. Mereka mengakui sebenarnya bahawa mereka
termasuk di kalangan orang-orang yang zalim apabila menjadikan
berhala-berhala sebagai sembahan. Ini menunjukkan manhaj dakwah Nabi Ibrahim
sudah memperlihatkan kejayaan, cuma apa yang menghalang kaumnya daripada
beriman hanyalah kedegilan dan keangkuhan. Allah SWT seterusnya menyatakan
(Al-Anbiya’, ayat 65) :

ثم نكسوا على رءوسهم لقد علمت ما هؤلاء ينطقون

Maksudnya :

            Kemudian mereka terbalik fikirannya kepada kesesatan, lalu
berkata: "Sesungguhnya engkau (hai Ibrahim), telah sedia mengetahui bahawa
berhala-berhala itu tidak dapat berkata-kata (maka betapa engkau menyuruh
kami bertanya kepadanya)?"

Inilah sikap penentang-penentang dakwah dari zaman Nabi Ibrahim sehingga ke
hari kiamat. Kebenaran mesej dakwah sebenarnya sudah dibuktikan melalui
pelbagai cara dan bukti, bagaimanapun kedegilan hati manusia tetap tidak
akan menerima kebenaran selagi mereka mempunyai kepentingan untuk terus
berada di dalam kesesatan. Sikap kaum Nabi Ibrahim sebenarnya mewakili sikap
orang-orang kafir yang enggan menerima kebenaran walaupun sudah terbukti di
hadapan mereka. Golongan ini tetap wujud di zaman mana sekalipun.

            Kekalahan dan kebatilan penyembah-penyembah berhala itu kian
terserlah apabila Nabi Ibrahim sekali lagi mengutarakan hujjah yang bernas
dan kuat apabila berkata :

قال أفتعبدون من دون الله ما لا ينفعكم شيئا ولا يضركم

Maksudnya :

            Nabi Ibrahim berkata: "Jika demikian, patutkah kamu menyembah
yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun
kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu?

Inilah titik hujjah sebenar Nabi Ibrahim kepada kaumnya. Segala apa yang
dilakukan sebelum ini ialah untuk menyedarkan kaumnya bahawa tuhan-tuhan
yang mereka sembah itu tidak dapat mendatangkan manfaat sedikitpun kepada
mereka. Kekuatan berhujjah yang dimiliki oleh Nabi Ibrahim ini merupakan
satu pengajaran berharga kepada pendokong-pendokong gerakan dakwah.

            Manhaj Nabi Ibrahim seterusnya apabila berdepan dengan kaumnya
yang degil ialah dengan menggunakan celaan dan makian. Namun, ia hanya
digunakan apabila segala macam bentuk nasihat dan peringatan yang lain tidak
mendatangkan kesan. Nabi Ibrahim seterusnya berkata (Al-Anbiyaa’, 67) :

أف لكم ولما تعبدون من دون الله أفلا تعقلون

Maksudnya :

            "Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain
Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?"

Kata-kata ini sebenarnya adalah satu celaan kepada kaumnya yang tidak mahu
menggunakan akal dalam menentukan kebenaran, malah mereka sanggup untuk
terus berada di dalam kesesatan sekalipun ia sudah terbukti sebagai sesat.
Celaan ini bukanlah bertujuan untuk merendah-rendahkan kaumnya, tetapi
bertujuan supaya kaumnya tersentak dengan penggunaan kata-kata yang
sedemikian rupa dan merenung kembali pendirian mereka. Inilah salah satu
uslub dakwah yang boleh digunakan pada masa-masa yang tertentu. Secara
umumnya, mesej dakwah sepatutnya disampaikan dengan bahasa dan pertuturan
yang baik, namun dalam beberapa keadaan, uslub bahasa celaan dan makian yang
tidak keterlaluan dibenarkan ketika dilihat sasaran dakwah tetap dengan
kedegilan mereka. Allah SWT berfirman (An-Nahl, 125) :

ادع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتي هي أحسن

Maksudnya :

            Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat
kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan
mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik;

Ini ialah bukti bahawa asas kepada penyampaian dakwah iaitu menggunakan
bahasa dan uslub yang baik, namun uslub celaan dan makian tetap dibenarkan
pada waktu-waktu yang tertentu dan tidak mencacatkan dakwah itu sendiri.

            Kedegilan kaum Nabi Ibrahim sampai ke kemuncak apabila
menjatuhkan hukuman bunuh kepada Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim diperintahkan
supaya dibakar hidup-hidup di atas kesalahannya menghancurkan
berhala-berhala mereka. Hukuman terhadap Nabi Ibrahim ini mencerminkan
tribulasi yang dihadapi oleh pendakwah iaitu ia boleh sampai ke tahap mereka
terpaksa menyerahkan nyawa mereka sendiri. Di dalam sejarah dakwah, bukan
sahaja Nabi Ibrahim yang pernah dijatuhkan hukuman bunuh kerana menyebarkan
kebenaran, bahkan sudah ramai yang terkorban semata-mata untuk
mempertahankan Islam. Di dalam kisah Nabi Ibrahim, terbukti bahawa baginda
tetap tabah sekalipun menerima hukuman bunuh. Ia mencerminkan sikap
pendakwah yang sepatutnya bersedia untuk menghadapi apa jua rintangan dan
hukuman untuk mempertahankan agama. Hukuman yang diterima tidak sepatutnya
melemahkan semangat para pendakwah untuk terus berjuang dan berdakwah kerana
mereka yakin bahawa ganjaran yang menunggu di sisi Allah SWT lebih besar dan
mulia. Allah SWT mengingatkan kepada para pendakwah dengan firmanNya
(Ali-Imran, 142) :

أم حسبتم أن تدخلوا الجنة ولما يعلم الله الذين جاهدوا منكم ويعلم الصابرين

Maksudnya :

            Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal
belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang
berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata
(wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?

            Apabila Nabi Ibrahim dicampakkan ke dalam api, Nabi Ibrahim
ternyata mempelihatkan satu lagi sifat yang perlu ada kepada seorang
pendakwah iaitu tawakkal dan pergantungan kepada Allah SWT. Disebut dalam
satu hadis sebagaimana berikut (Bukhari, Shahih, (k) Tafsir Al-Quran, (no)
4197) :



عن ابن عباس ( حسبنا الله ونعم الوكيل ) قالها إبراهيم عليه السلام حين ألقي في
النار وقالها محمد صلى اللهم عليه وسلم حين قالوا ( إن الناس قد جمعوا لكم
فاخشوهم فزادهم إيمانا وقالوا حسبنا الله ونعم الوكيل )

Maksudnya :

            Daripada Ibnu Abbas menyatakan ("Cukuplah untuk (menolong) kami,
dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)"
diucapkan oleh Ibrahim ‘alahis-Salam apabila dilemparkan ke dalam api dan
diucapkan oleh Muhammad SAW apabila manusia berkata (Bahawa kaum (kafir
musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah
kamu gerun kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu
berkata: "Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang
terserah kepadaNya segala urusan kami)".

Berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari yang datangnya dari
Ibnu Abbas ini, jelaslah bahawa perkataan Nabi Ibrahim apabila dilemparkan
ke dalam api ialah حسبنا الله ونعم الوكيل  yang bermaksud Cukuplah Allah
untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya
segala urusan kami)". Inilah juga ucapan yang diucapkan oleh Nabi Muhammad
SAW apabila diancam dengan kepungan dari kaum musyrikin. Semua ini
menunjukkan bahawa antara sifat seorang pendakwah ialah bertawakkal dan
bergantung harap hanya kepada Allah SWT. Jika dilihat kepada keadaan yang
menimpa Nabi Ibrahim, jelaslah bahawa situasi yang dihadapi oleh baginda
ialah satu situasi yang paling mendebarkan. Baginda dihadapkan dengan
keadaan yang akan menentukan hidup dan mati baginda. Namun, pada masa
demikian, pergantungannya tetap kepada Allah SWT. Ini adalah berdasarkan
keyakinan bahawa Allah SWT adalah Pencipta langit dan bumi. Dialah yang
berkuasa untuk menentukan hidup dan mati seseorang dan bukannya orang-orang
yang kafir penyembah berhala. Sifat sedemikian sepatutnya dipupuk oleh
golongan pendakwah.

            Tawakkal Nabi Ibrahim tersebut ternyata tidak disia-siakan oleh
Allah SWT. Kejadian yang seterusnya membuktikan bahawa sekalipun setiap
benda mempunyai tugasnya masing-masing, namun yang menentukannya ialah Allah
SWT. Dalam erti kata lain, hukum adat adalah tertakluk di bawah kuasa Allah
SWT. Sebagai contoh api yang sepatutnya membakar Nabi Ibrahim, apabila tidak
mendapat keizinan daripada Allah, sifat membakar yang ada padanya tidak akan
berfungsi. Allah SWT berfirman (Al-Anbiyaa’, 69) :

قلنا يانار كوني بردا وسلاما على إبراهيم

Maksudnya :

Kami berfirman: "Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera
kepada Ibrahim!

Dengan terselamatnya Nabi Ibrahim daripada api yang dinyalakan khas untuk
membakar dirinya, Allah SWT mengira ia sebagai satu kekalahan kepada
orang-orang kafir. Ini disifatkan melalui firmanNya (Al-Anbiyaa’, 70) :

وأرادوا به كيدا فجعلناهم الأخسرين

Maksudnya :

            lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang amat rugi, (kalah
dengan hinanya).

Inilah kesudahan kepada orang-orang yang menentang ajaran Allah SWT, ia
pasti akan berakhir dengan kekalahan. Manakala kemenangan Nabi Ibrahim
bukanlah semata-mata kerana baginda terselamat daripada api, bahkan kerana
baginda membawa risalah kebenaran. Sesungguhnya, pendakwah-pendakwah yang
menjalankan urusan dakwah sebenarnya mendapat kemenangan sekalipun terpaksa
berdepan dengan pelbagai ujian di dunia. Ini kerana, ganjaran yang besar
sebenarnya sedang menanti dia akhirat kelak.







BAB KELIMA : KESIMPULAN

            Allah SWT berfirman (Al-Mumtahanah, 4) :

قد كانت لكم أسوة حسنة في إبراهيم والذين معه إذ قالوا لقومهم إنا برآء منكم
ومما تعبدون من دون الله كفرنا بكم وبدا بيننا وبينكم العداوة والبغضاء أبدا
حتى تؤمنوا بالله وحده.. الأية

Maksudnya :

            Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan
pengikut-pengikutnya - contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada
kaumnya (yang kufur ingkar): "Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu
dan daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur ingkarkan
(segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan
kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah
Allah semata-mata"

            Inilah penegasan daripada Allah SWT bahawa Nabi Ibrahim adalah
merupakan contoh kepada umat manusia sehinggalah ke hari ini.
Pengajaran-pengajaran yang dapat diambil daripada perjalanan dakwah Nabi
Ibrahim adalah menjadi satu model ikutan kepada pendakwah-pendakwah yang
sentiasa berusaha menyebarkan mesej dakwahnya.

            Secara keseluruhannya, Nabi Ibrahim menggunakan pelbagai manhaj
dalam menyampaikan dakwahnya. Manhaj-manhaj tersebut secara umumnya boleh
disimpulkan seperti berikut :



1. Kekuatan hujjah dan ajakan untuk menggunakan akal fikiran yang sempurna
dalam menyebarkan dakwah

            Ini ialah manhaj pertama dan terpenting sepanjang dakwah Nabi
Ibrahim kepada ayah, kaum dan raja di zamannya. Kekuatan hujjah Nabi Ibrahim
terbukti apabila menyeru ayahnya supaya meninggalkan penyembahan berhala
dengan terlebih dahulu mengajak ayahnya berfikir kembali dengan menggunakan
neraca penilaian yang bijaksana. Demikian juga apabila Nabi Ibrahim menyeru
kaumnya, hujjah-hujjah dan ajakan supaya berfikir menggunakan akal fikiran
yang waras digunakan sepenuhnya khususnya apabila baginda mengajak kaumnya
menolak amalan penyembahan cakerawala. Ia juga terbukt isemasa Nabi Ibrahim
berhujjah di dalam peristiwa penghancuran berhala. Satu persatu hujjah Nabi
Ibrahim tidak dapat dipatahkan sama sekali oleh penyembah-penyembah berhala.
Namun sayangnya, kekufuran dan kedegilan mereka menghalang mereka daripada
menerima cahaya kebenaran.

            Proses pembentangan hujjah dan dalil juga berlaku ketika Nabi
Ibrahim berdebat dengan seorang raja di zamannya. Sekalipun raja tersebut
juga turut  mengemukakan hujjah dan bukti yang menyokong ketuhanannya, jelas
sekali ia tidak mampu mengatasi hujjah Nabi Ibrahim. Kemenangan dan
kebenaran berpihak kepada Nabi Ibrahim semasa berdebat dengan raja tersebut.
Namun sebagaimana biasa, golongan yang tidak mahu menerima kebenaran pasti
akan terus kekal dalam kekafiran selagi tidak diberikan petunjuk oleh Allah
SWT.



2. Gaya bahasa yang sesuai dengan situasi

Nabi Ibrahim menggunakan gaya bahasa yang paling sesuai apabila berhadapan
dengan sasaran dakwah yang berbeza-beza. Jika diperhatikan dakwah Nabi
Ibrahim kepada ayahnya mengandungi pelbagai unsur-unsur kasih sayang sesuai
dengan sifatnya sebagai seorang anak di samping seorang rasul yang diutuskan
oleh Allah SWT. Lafaz أبت yang bermaksud ayah kesayanganku digunakan
sekalipun jelas dakwahnya telah ditolak oleh ayahnya sendiri. Ini berbeza
apabila sasaran dakwahnya merupakan masyarakat umum, Nabi Ibrahim
menggunakan gaya bahasa yang sesuai sifat masyarakat yang biasanya
menginginkan bukti dan hujjah yang kukuh. Malah dalam ketika tertentu,
ternyata Nabi Ibrahim turut menggunakan perkataan-perkataan yang bermaksud
celaan kepada penyembah-penyembah berhala. Perkataan أف لكم   yang bermaksud
Jijik perasaanku terhadap kamu nyata sekali merupakan satu celaan terhadap
penyembah-penyembah berhala yang tetap ingkar menerima kebenaran sekalipun
mereka sudah kalah di dalam perdebatan.

            Harus ditekankan bahawa sekalipun uslub bahasa yang bersifat
celaan ini dibenarkan di dalam Islam, namun ia hanya bleh digunakan pada
waktu-waktu yang tertentu sahaja. Celaan dan makian yang dibiasakan di dalam
usaha menyebarkan mesej dakwah akan menyebabkan fitnah kepada gerakan dakwah
sendiri. Oleh yang demikian, di dalam menyampaikan mesej dakwah,
sebaik-baiknya setiap individu pendakwah cuba mengelakkan diri dari
menggunakan perkataan-perkataan sebegini kecuali apabila keadaan benar-benar
memaksa.



3. Perancangan Dalam Melaksanakan Gerak Kerja

            Di antara manhaj Nabi Ibrahim yang lain ialah mempunyai
perancangan yang tersusun rapi apabila melakukan sebarang gerak kerja. Ini
boleh dilihat apabila Nabi Ibrahim terlebih dahulu melihat kepada
bintang-bintang di langit yang menunjukkan waktu berhari raya untuk kaumnya
sudahpun hampir tiba. Ini sekaligus memberikan peluang kepada Nabi Ibrahim
untuk merencanakan sesuatu terhadap berhala-berhala sembahan kaumnya. Ia
dijelaskan lagi dengan ikrar Nabi Ibrahim sendiri kepada kaumnya bahawa dia
akan menjalankan rancangan terhadap berhala-berhala sembahan kaumnya.
Walaupun tidak disebut apakah rancangan tersebut, namun ia tentunya
memberikan gambaran bahawa segalanya sudah dirancangkan oleh Nabi Ibrahim
sejak daripada awal lagi.

            Di sini terbukti bahawa Nabi Ibrahim tidak melakukan sesuatu
perkara dan tindakan dengan serta merta bahkan didahului dengan perancangan
yang rapi dan tersusun agar segala tindakannya tidak tergendala. Secara
logiknya, sudah pastilah rumah berhala tersebut mempunyai pengawal setiap
masa, tetapi Nabi Ibrahim sudah merencanakan tindakannya pada satu masa ang
tidak ada pengawal di tempat tersebut iaitu pada hari raya kaumnya.



4. Berani Berdepan Dengan Ancaman

            Nabi Ibrahim juga mempunyai sifat berani dalam menyebarkan
dakwahnya. Keberanian ini dapat dilihat apabila Nabi Ibrahim berdepan dengan
raja yang mengaku sebagai tuhan di zamannya. Kebiasaannya, sudah pastilah
seorang raja akan mempunyai pengawal-pengawal yang ramai dan kekuasaan yang
besar. Namun itu semua tidak menakutkan Nabi Ibrahim untuk menyatakan
kebenaran dan melawan hujjah-hujjah raja tersebut. Tindakan baginda ini
pastinya mendatangkan risiko yang tidak sedikit, apatah lagi memandangkan
bahawa raja tersebut berhak menjatuhkan hukuman mati kepada sesiapa saja
sekalipun.

            Itu semua tidak menggentarkan Nabi Ibrahim. Malah keberanian
baginda juga dapat dilihat dengan tindakannya menghancurkan berhala-berhala
sembahan kaumnya. Nabi Ibrahim tentulah mengetahui bahawa tidak ada orang
lain yang akan disyaki melainkan dirinya sendiri memandangkan bahawa hanya
baginda sahaja yang berada di kawasan tersebut pada masa itu ditambah pula
dengan sikapnya yang sering melawan amalan penyembahan berhala. Namun,
tindakan menghancurkan berhala tersebut tetap dilakukan sekalipun risikonya
terlalu besar.

            Keberanian dan nekad yang ada pada diri Nabi Ibrahim ini adalah
contoh yang terpuji yang sepatutnya dimiliki oleh para pendakwah. Biarpun
tindakan Nabi Ibrahim seperti menghancurkan berhala tidak sesuai untuk
dilaksanakan pada zaman sekarang, sekurang-kurangnya semangat yang dimiliki
oleh baginda sepatutnya menjadi contoh yang paling baik dalam melakukan
sebarang tindakan.



5. Tawakkal dan Pergantungan Kepada Allah SWT

              Pergantungan hanya kepada Allah SWT juga menjadi salah satu
ciri utama dalam dakwah Nabi Ibrahim. Dengan adanya sifat pergantungan
seperti ini, Nabi Ibrahim mapu untuk melakukan apa sahaja yang secara
logiknya tidak mampu untuk dilakukan oleh seorang individu. Pergantungan dan
tawakkal ini boleh dilihat apabila Nabi Ibrahim diancam untuk dicampakkan
masuk ke dalam api. Kata-kata Nabi Ibrahim ketika itu حسبنا الله ونعم الوكيل
yang bermaksud Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik
pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami membayangkan keteguhan
tawakkal yang dimiliki oleh baginda.

            Perlu dinyatakan bahawa Nabi Ibrahim tidak berdepan dengan
seorang raja ataupun satu bala tentera kaumnya, tetapi baginda berdepan
dengan satu sistem jahiliyyah yang mengagungkan penyembahan berhala,
cakerawala malah menyembah raja mereka sendiri. Untuk berdepan dengan sistem
yang telah mendasari ruang lingkup pemikiran masyakarat seperti ini bukan
satu tugas yang mudah dan senang untuk dilaksanakan. Nabi Ibrahim ternyata
sekali mempunyai pergantungan dan tawakkal yang kuat apabila dengan tenaga
yang ada pada dirinya sebagai seorang individu masyarakat sanggup tampil ke
hadapan untuk menyanggah tradisi dan adat yang diamalkan oleh masyarakat
turun temurun.

            Dalam konteks pendakwah pada hari ini, mempunyai pergantungan
dan tawakkal kepada Allah SWT adalah merupakan kunci kejayaan.  Malah jika
seandainya gerakan dakwah mempunyai tenaga-tenaga yang ramai yang mempunyai
rasa takut hanya kepada Allah, ia pastinya merupakan sebuah gerakan dakwah
yang kuat. Bagaimanapun, tawakkal ini bukanlah bererti menyerahkan segala
tugas dan urusan kepada Allah SWT tanpa berusaha, ia bermakna pergantungan
dan rasa takut tidak wujud kepada sesama makhluk. Individu pendakwah yang
mempunyai ciri-ciri seperti ini pastinya akan mendapat pertolongan oleh
Allah SWT. Allah SWT berfirman (Al-Anfaal, 65) :

ياأيها النبي حرض المؤمنين على القتال إن يكن منكم عشرون صابرون يغلبوا مائتين
وإن يكن منكم مائة يغلبوا ألفا من الذين كفروا بأنهم قوم لا يفقهون

Maksudnya :

            Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk
berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka
dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika
ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu
orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu)
orang-orang yang tidak mengerti.



Sebagai penutup, jelaslah kepada kita bahawa di dalam dakwah Nabi Ibrahim
yang diceritakan di dalam Al-Quran tidak hanya sekadar satu cerita dan
pengkisahan biasa sahaja, tetapi mengandungi pelbagai pengajaran dan iktibar
kepada pembaca-pembaca Al-Quran khususnya. Manhaj-manhaj yang digunakan oleh
Nabi Ibrahim dalam menyampaikan dakwahnya jelas sekali merupakan contoh yang
terbaik kepada semua individu pendakwah yang sentiasa berusaha untuk
menyebarkan mesej dakwahnya. Seandainya contoh-contoh yang ditunjukkan oleh
Nabi Ibrahim ini dapat dijadikan ikutan dan amalan soleh pendokong-pendokong
gerakan dakwah pada hari, gerakan dakwah pasti akan mempunyai masa depan
yang lebih gemilang. Allah SWT berfirman (Yusuf, 13) :

لقد كان في قصصهم عبرة لأولي الألباب ما كان حديثا يفترى ولكن تصديق الذي بين
يديه وتفصيل كل شيء وهدى ورحمة لقوم يؤمنون

Maksudnya :

            Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran
yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran.
(Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita
yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam
Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang
menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat
bagi kaum yang (mahu) beriman.







BIBLIOGRAFI
As-Sayuti, cAbdur-Rahman Jalaluddin, 1413H/1993M

            Ad-Dur Mansur Fit Tafsiril Ma’thur, Beirut : Darul Fikr



Ibnu Hajar Asqalani, Ahmad bin Ali bin Hajar, 1420H/2000M

            Fathul Bari Bisyarhi Shahih Bukhari, Beirut : Darul Fikr



Ibnu Jarir At-Thabari, Muhammad bin Jaafar, 1419H/1999M

            Jamicul Bayan can Ta’wilil Quran, Beirut : Darul Fikr



Ibnu Kathir Al-Qurasyi Ad-Dimisyqi, 1417H/1997M

            Al-Bidayah Wan Nihayah, Beirut : Darul Fikr



Ibnu Kathir Al-Qurasyi Ad-Dimisyqi, 1414H/1994M

            Tafsir Al-Quran Al-cazim, Beirut : Darul Fikr



Muhammad Ar-Razi Fakhruddin Ibnu cAllamah Dhiauddin cUmar, 1415H/1995M

            Tafsir Fakhrur-Razi, Beirut : Darul Fikr



Solah Al-Khalidi, 1417H/1997M

            Al-Qashash Al-Qurani : cArdhu Waqa’ica Wa Tahlilu Ahdath,

Damsyik : Darul Qalam

_________________________________________________________________
Download the latest MSN Messenger http://messenger.msn.com.my



------------------------ Yahoo! Groups Sponsor ---------------------~-->
Inkjet cartridges up to 80% off. HP, Epson, Lexmark--we have your brand.
Free shipping on every order to the U.S. and Canada! Excellent service.
http://www.c1tracking.com/l.asp?cid=5510
http://us.click.yahoo.com/QWB0QC/.eUGAA/ySSFAA/eYWolB/TM
---------------------------------------------------------------------~->

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Informasi Lanjutan   : http://epmram.pmram.org
Hantar Mesej         : epmram@yahoogroups.com
Daftar               : epmram-subscribe@yahoogroups.com
Berhenti             : epmram-unsubscribe@yahoogroups.com
Bermasalah Hubungi   : epmram-owner@yahoogroups.com
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Your use of Yahoo! Groups is subject to http://docs.yahoo.com/info/terms/