DR. NASR FARID WASIL 
DITAMATKAN JAWATAN MUFTI MESIR

 

Dr. Nasr Farid Wasil, mufti negara Republik Arab Mesir, telah ditamatkan jawatan mufti kerana telah sampai umur persaraan, 65 tahun. Sementara itu, Dr. Ahmed Mohammed al-Tayyeb, pensyarah Aqidah dan Falsafah di Fakulti Usuluddin, Universiti Al-Azhar telah dilantik bagi menggantikan beliau.

Ulama Al-Azhar berpendapat  bahawa keputusan ini dibuat disebabkan pendirian dan fatwa beliau yang sering menimbulkan cakapan orang di jalanan Mesir dan juga mencetuskan kemarahan di pihak kerajaan. Presiden Mohamed Hosni Mubarak telah mengeluarkan satu keputusan pada Ahad (10/3/2002) bagi melantik Dr. Ahmed Mohammed al-Tayyeb sebagai mufti Mesir yang baru bagi menggantikan Wasil yang dilantik pada 10 November 1996 yang lepas.

Syeikh Wasil telah mengeluarkan beberapa fatwa yang telah menimbulkan polemik dan kemarahan pihak kerajaan. Fatwa-fatwanya itu menggambarkan seolah-olah kerajaan menyalahi syariat Islam, yang mana beliau pernah mengeluarkan fatwa mengharamkan pertandingan ratu cantik Mesir dll. Ahli Parlimen Mesir  - berdasarkan fatwa ini - telah menuduh kerajaan sebagai menyalahi perkara (2) Perlembagaan Mesir yang menyebutkan bahawa Syariat Islam adalah yang tertinggi dalam perundangan. Perkara ini telah menyebabkan kerajaan semakin parah (ekonomi) kerana pergantungannya kepada pertandingan ini dalam mengaktifkan pelancongan Mesir yang merudum sejak 11 September 2001.

Dr. Nasr juga pernah minta supaya ditutup kilang-kilang tembakau yang mana Belanjawan Mesir banyak bergantung padanya dan juga dieksport ke luar negara. Beliau berkata : "Sesungguhnya saya masih meminta agar semua kilang rokok ditutup dalam jangka masa panjang secara berperingkat-peringkat dengan memberhentikan aktiviti-aktiviti yang diharamkan dalam pengeluaran rokok., dengan melihat bahawa ia memberi kesan mudarat yang pasti terhadap kesihatan, sosial, harta-benda dan juga budaya.". Beliau menambah "menjadi tanggungjawab Negara sekarang  dalam menjaga harta-benda dan anak bangsanya, telah thabit bahawa merokok itu boleh membawa kepada kerosakan pada harta-benda, ahli keluarga...bahanya cukup besar sekali. "

Wasil juga pernah berfatwa akan keharusan jatuh talak dan boleh minta talak - sama ada bagi isteri yang merokok atau suami yang merokok - jika salah seorang itu boleh memudaratkan yang lain, atau perempuan yang merokok itu enggan  taat perintah suami supaya berhenti merokok.

Fatwa beliau juga menimbulkan perselisihan pendapat antara beliau dan Syeikh Al-Azhar Dr. Tantawi; Syeikh Wasil menyifatkan rakyat Palestin yang melakukan "martyrdom operation" terhadap Israel adalah mati syahid manakala Tantawi berpendapat bahawa orang yang melakukan operasi itu terhadap orang awam adalah sebagai "bunuh diri", bukan syahid.

Bekas mufti itu pernah berkata : "Sesungguhnya  operasi syahid yang dilakukan oleh orang Palestin bagi menghapuskan kezaliman di atas tanah mereka yang dijajah itu adalah disyariatkan Islam seratus peratus (100%). Tidak ada seorang pun yang boleh berkata bahawa penentangan terhadap penjajah dengan apa cara sekalipun adalah tidak diiktiraf Islam (tidak disyariatkan). Beliau berkata : "Sesungguhnya jihad fi sabiliLlah dan memempertahankan tanahair dan tempat-tempat suci Islam adalah fardhu ain ke atas setiap muslim sekarang, lebih banyak (lebih kuat kefardhuannya) daripada waktu-waktu lampau, dalam situasi orang-orang muslim yang sering dimangsai terutama di Palestin, Kasymir dan lain-lain tempat di alam Islam sekarang. Yang lebih utama ialah, menjadi kewajipan ke atas setiap rakyat Palestin di tanah Palestin dan luarnya, berjihad membebaskan tanahair mereka yang telah dan sedang dicerobohi oleh Israel."

Beliau juga menegaskan bahawa "Sebarang perjanjian antara Palestin dan Israel yang berlaku atas asas menyerahkan sebahagian daripada bandar Al-Quds atau tanah rakyat Palestin adalah perjanjian yang batil dari segi syara', tidak wajib ke atas ummah (mematuhinya) walau macamana sekalipun sumbernya. Tidak boleh mana-mana insan menyerahkan walau sejengkal tanah Palestin, kerana ianya adalah waqaf Islam dan dimiliki oleh umat Islam seluruhnya."

Dalam perkembangan lain, ulama-ulama Al-azhar berkeyakinan bahawa keputusan melantik mufti baru Mesir dan tidak memperbaharui kontrak mufti yang sedia ada, Syeikh Farid Wasil, kerana sampai umur persaraan 65 tahun, mungkin disebabkan oleh pendirian Syeikh Wasil sendiri yang telah menimbulkan kemarahan beberapa agensi Kerajaan Mesir dan fatwa-fatwa beliau yang bertentangan dengan beberapa urusan rasmi.

Ulama Al-Azhar berkata, setakat ini belum ada lagi seorang mufti yang ditamatkan jawatan dan khidmatnya sejak jawatan ini dipangku oleh Syeikh Mohamed Khater, mufti Mesir yang lepas, pada tahun 1975. Semua yang menjawat jawatan ini biasanya disambung dari setahun ke setahun hinggalah  seseorang mufti itu meninggal atau apabila ia menjawat jawatan lain seperti Syeikh Al-Azhar sekarang, Sayyed Tantawi. Berbeza dengan dengan Syeikh Wasil, yang tidak disambung kontraknya tatkala sampai umur persaraannya.

Syeikh Yahya Ismail, mantan setiausaha Jabhah Ulama Al-Azhar berkata kepada Quds Press, Isnin 11/3/2002 : "Sesungguhnya (ia) bala bencana, yang mungkin dibuat bagi menamatkan khidmat Syeikh Wasil, tidak menyambung perkhidmatannya, selari dengan mufti-mufti Mesir yang lepas, fatwanya tidak disenangi, beliau telah menulis di akhbar "Al-Haqiqah" keluaran parti Al-Ahrar, Mesir dalam keluaran Sabtu, 9/3/2002 dengan kenyataan berbunyi : "Sesungguhnya jihad adalah wajib ke atas setiap muslim bagi mempertahankan masalah Palestin", beliau menyeru masyarakat Arab supaya melakukan revolusi dan jihad walau dengan apa cara sekalipun. Kenyatan ini dianggap telah keluar dari garisan merah bagi jawatan seorang mufti.

Ulama yang lain berkata : Sesungguhnya yang menyebabkan jawatannya tidak disambung ialah fatwanya yang telah  menimbulkan kemarahan sebahagian agensi Kerajaan Mesir. Antara fatwa beliau ialah mengharamkan pertandingan ratu cantik di Mesir. Pertandingan terakhir yang dibuat ialah pertandingan ratu cantik dunia dan juga fesyen di Sharm al-Syeikh, Mesir pada bulan lepas.

Walau bagaimanapun, mereka menyedari bahawa presiden Mesir mempunyai hak untuk memperbaharui jawatan itu kepada sesiapa sahaja setiap tahun tanpa ikatan dengan umur tertentu, bertepatan dengan undang-undang negara.

Adapun mufti Mesir yang baru, Dr. Ahmed Mohammed al-Tayyeb (56 tahun) dianggap sebagai orang paling muda menjawat jawatan itu. Beliau juga adalah Dekan Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Aswan (selatan Mesir). Beliau fasih berbahasa Perancis dan ada menterjemahkannya ke bahasa Arab.

Al-Tayyeb, sejurus selepas dilantik berkata bahawa beliau tidak menyangka sama sekali menjadi mufti bagi negara Mesir. Beliau merasakan satu tanggungjawab yang amat besar sedang dipikulnya. Beliau menjelaskan beliau mesti mempermudahkan dalam pengeluaran fatwa, dengan syarat tidak terkeluar daripada garis hukum syara'. Katanya lagi, satu-satu fatwa itu mestilah bersifat umum, berubah bersama perubahan zaman, tetapi mestilah bersandarkan kepada Al-Quran atau As-Sunnah.

Beliau menegaskan, persoalan-persoalan besar yang dihadapinya tidak akan beliau bersendirian dalam pengeluaran fatwa, akan tetapi akan dibincangkan di Majma' Buhuts Islamiyyah dan institusi-institusi Islam luar, jika boleh.

Sumber : Islam Online, 12 Mac 2002 (Arabic Version)


________________________________________

Senarai mufti-mufti Mesir sejak penubuhan Dar al-Ifta' al-Misriyyah pada 1895

01) فضيلة الشيخ حسونة النواوي
02) فضيلة الإمام محمد عبده
03) فضيلة الشيخ بكري الصدفي
04) فضيلة الشيخ محمد بخيت المطيعي
05) فضيلة الشيخ محمد إسماعيل البرديسي
06) فضيلة الشيخ عبد الرحمن قراعة
07) فضيلة الشيخ عبد المجيد سليم
08) فضيلة الشيخ حسنين محمد مخلوف
09) فضيلة الشيخ علام نصار
10) فضيلة الشيخ حسن مأمون
11) فضيلة الشيخ أحمد محمد عبد العال هريدي
12) فضيلة الشيخ محمد خاطر محمد الشيخ
13) فضيلة الشيخ جاد الحق على جاد الحق
14) فضيلة الشيخ عبد اللطيف عبد الغني حمزة
15) فضيلة الدكتور محمد سيد طنطاوي
16) فضيلة الدكتور نصر واصل
17) الدكتور أحمد محمد الطيب

 

 

Hakcipta © Mazuki Izani El-Besuty (12 Mac 2002)

[Home]