Hari raya Adha atau
hari raya qurban adalah di antara syi‘ar agama Islam. Pada hari tersebut
umat Islam disunatkan menyembelih binatang qurban bagi membesarkannya. Hal
ini telah dijelaskan oleh Allah Subahanhu wa Ta‘ala dalam firmanNya
yang tafsirnya :
"Dan kami jadikan
unta (yang dihadiyahkan kepada fakir miskin Mekkah itu) sebahagian dari
syi‘ar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada
kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya)
ketika berdiri di atas tiga kakinya; maka apabila ia tumbang (serta putus
nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang
lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah
Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu
bersyukur”
(Surah Al-Hajj: 36)
Menurut hukum syarak
binatang qurban yang disembelih itu hendaklah terdiri daripada binatang
ternakan seperti unta, lembu, kerbau atau kambing dengan tujuan
menghampirkan diri dan taat kepada Allah Subahanhu wa Ta‘ala.
Selain itu
menyembelih qurban juga merupakan amalan yang disukai oleh Allah
Subahanhu wa Ta‘ala dan sebagai bukti serta keikhlasan kita dalam
menghidupkan syi‘ar agama Islam. Ini jelas difahami dari firman Allah
Ta‘ala yang tafsirnya :
“Daging dan darah
binatang qurban atau hadyi itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah,
tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa
daripada kamu”.
(Surah Al-Hajj:37)
Menurut Mazhab
Syafi‘e menyembelih binatang qurban adalah sunat yang dituntut (muakkadah).
Ibadat qurban ini hanya sah dilakukan untuk diri sendiri. Dengan demikian
adalah tidak sah menyembelih qurban untuk orang lain yang masih hidup
kecuali dengan ada izinnya. Begitu juga tidak sah menyembelih qurban untuk
orang yang telah meninggal dunia kecuali ada wasiatnya. Walau bagaimanapun
pahala menyembelih qurban itu boleh diniatkan untuk dikongsi oleh orang
lain seperti keluarganya.
Hukum Daging Qurban
Hukum menyembelih
binatang qurban itu ada dua, iaitu qurban wajib dan qurban sunat. Adapun
qurban wajib itu seperti qurban yang dinazarkan atau diwasiatkan.
Terdapat beberapa
hukum yang perlu diambil perhatian berhubung dengan daging qurban itu.
Jika sembelihan binatang qurban itu sebagai qurban wajib, maka daging
tersebut wajib disedekahkan kesemuanya. Haram bagi orang yang berqurban
itu dan orang-orang yang di bawah tanggunggannya memakan daging tersebut.
Jika dimakannya daging itu wajib dia mengganti kadar daging yang
dimakannya dan kemudian disedekahkannya, tetapi tidak wajib dia
menyembelih semula binatang yang lain sebagai ganti.
Manakala daging
qurban sunat pula, sunat bagi orang yang empunya qurban itu memakan
sebahagian daripadanya, sebagaimana dijelaskan oleh Al-Qur‘an yang
tafsirnya ;
“Dengan demikian
makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang qurban itu dan berilah makan
kepada orang yang susah, yang fakir miskin”
(Surah Al-Hajj: 28)
Walau bagaimanapun
lebih baik (afdhal) disedekahkan semuanya, melainkan dimakannya
sedikit kadar beberapa suap untuk mengambil berkat daripadanya, kerana
yang demikian itu lebih mendekatkan diri kepada taqwa dan jauh daripada
mementingkan diri sendiri. Tetapi makan di sini bukanlah bererti dia wajib
memakannya.
Bahagian daging yang
dimakan oleh yang empunya qurban itu, afdhalnya ialah hatinya kerana
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah makan sebahagian
daripada hati binatang qurbannya, sebagaimana yang diriwayatkan oleh
Al-Baihaqi yang maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah
memakan daripada hati binatang qurbannya”
Sekalipun daging
qurban sunat itu boleh dimakan oleh orang yang berqurban namun haram
baginya memakan kesemua daging tersebut. Firman Allah Subhanhu wa
Ta‘ala yang tafsirnya :
"Makanlah
sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada
orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta”.
(Surah Al-Hajj: 36)
Sebahagian daripada
daging qurban sunat itu, wajib disedekahkan dalam keadaan mentah lagi
basah kepada fakir miskin sekalipun ia hanya disedekahkan kepada seorang
miskin sahaja. Jika dimakan kesemua daging qurban sunat itu dan tiada
sedikitpun yang disedekahkan kepada orang fakir dan miskin, qurban
tersebut tetap sah, tetapi wajib didapatkan atau dibeli daging yang lain
kadar yang wajib disedekahkan sebagai gantinya. Namun dari segi pahalanya
orang tersebut tidak mendapat pahala qurban sepenuhnya.
Selain daripada
disedekahkan, daging-daging qurban sunat itu harus dihadiahkan kepada
orang kaya untuk dimakan sahaja, bukan sebagai milik kepada mereka. Ini
bererti mereka tiada hak untuk menjual atau menghadiahkannya kepada orang
lain dan seumpamanya. Berlainan halnya dengan orang fakir dan miskin, yang
mana daging itu adalah menjadi milik mereka dan harus bagi mereka menjual
atau memberikan daging tersebut kepada orang lain.
Begitu juga haram
atas orang yang berqurban atau warisnya menjual daging qurban itu atau
kulitnya atau bulunya atau sesuatu daripada qurban itu, sebagaimana sabda
Rasulullah
yang maksudnya :
“Siapa yang
menjual kulit qurban (udhiyah) itu maka tiada dikira baginya qurban”
(Hadis riwayat
Al-Hakim)
Kulit atau daging
binatang qurban itu juga haram dijadikan upah kepada penyembelih, tetapi
harus diberikan kepadanya dengan jalan sedekah atau hadiah.
Daging qurban yang
disedekahkan kepada orang fakir miskin itu mestilah dalam keadaan mentah.
Berbeza halnya dengan daging qurban yang dihadiahkan kepada orang kaya, di
mana daging tersebut boleh dihadiahkan dalam keadaan mentah ataupun sudah
dimasak. (I‘anat At-Talibin : 2/333-334)
Tidak memadai jika
yang diberikan kepada orang fakir miskin itu hanya kulitnya, bulunya,
tanduknya, kukunya dan sebagainya
Daging-daging qurban
atau mana-mana bahagian daripadanya sama ada qurban wajib atau sunat yang
disedekahkan kepada orang fakir miskin atau yang dihadiahkan kepada orang
kaya itu adalah terhad kepada mereka yang beragama Islam sahaja. Haram
memberi, menghadiahkan atau menjual daging qurban tersebut kepada orang
bukan Islam, sekalipun fakir miskin itu terdiri daripada kafir zimmi
(Matlak Al-Badrain: 81). Ini adalah disebabkan menyembelih binatang qurban
itu adalah merupakan ibadat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Oleh
sebab itu, sekiranya ada bahagian daging tersebut yang diberikan,
dihadiahkan atau dijual kepada orang bukan Islam, maka wajib diganti
dengan daging yang lain sekira-kira menyamai kadar berkenaan.
Demikianlah
penentuan hukum syarak berkenaan dengan daging qurban yang perlu kita
ambil perhatian sepenuhnya semoga dengan demikian ibadat qurban yang kita
lakukan itu diterima oleh Allah Subhanhu wa Ta‘ala.
Sumber :
http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2000/ic10_2000.htm