AL-AZHAR
DALAM USAHA UMUMKAN KEHARUSAN FAEDAH BANK

  .
.
 
 

Majma’  Buhuts Islamiyyah (Akademi Penyelidikan Islam) Universiti Al-Azhar, Mesir sedang dalam usaha mengumumkan secara rasmi fatwa mengenai keharusan faedah bank selepas Majma’ tersebut bersepakat dalam mesyuarat terakhirnya pada 31 Oktober 2002 diketuai oleh Syeikh AL-Azhar Dr. Mohamed Sayyed Tantawi. Fatwa yang mengganggap faedah bank sebagai halal itu dipersetujui oleh majoriti ahli kecuali Dr. Abdel Fattah As-Syeikh dan Dr. Mohamed Ra’fat Uthman yang membangkang fatwa tersebut dan kedua-duanya berpegang bahawa ianya bertentangan dengan syariat Islam.

Dalam konteks menerangkan jaminan pengharusan itu, ahli-ahli Majma’ menegaskan bahawa mereka mengharuskan pelaburan harta di bank-bank dengan menentukan terlebih dahulu kadar pulangan dengan menganggap ianya termasuk dalam bab Al-Wakalah (Wakil-mewakil), dan harta-harta yang disimpan dalam bank itu dimasukkan dalam pembangunan dan perindustrian negara dan ia mewakili satu bahagian penting dalam ekonomi negara lagipun tidak ada keraguan riba padanya atau eksploitasi satu pihak ke atas pihak yang lain.

Dr. Abdel Mu’thi Bayyoumi, (anggota Majma’) berkata, : “Sesungguhnya apa yang diharuskan dan diputuskan oleh Majma’ Buhuts Islamiyyah hingga hari ini ialah : pelaburan harta dalam bank yang ditentukan kadar pulangannya terlebih dahulu adalah halal, lagipun pengharusan bermuamalat (berurusan) dengan bank-bank yang menetapkan lebih awal kadar pulangan atau keuntungan itu, difokuskan kepada pelaburannya dan juga difokuskan kepada penetapan pulangannya, bukannya di atas makna faedah (interest). Dan ini tidak ada apa-apa dari segi syara’.”

Abdul Mu’thi menambah bahawa “Pelaburan yang dilakukan oleh bank terhadap harta-harta individu dalam pelaburan yang halal menyerupai penetapan lebih awal kadar pulangan itu  termasuk dalam bab al-Wakalah, sebagaimana ianya menjaga harta daripada kerosakan hak yang kadang-kadang boleh membawa kepada kehilangan keuntungan harta pelabur”. Beliau juga berkata bahawa “Penetapan kadar faedah menjamin tidak merosakkan pulangan atau keuntungan kepada pemilik harta dan al-Azhar as-Syareef akan mengeluarkan fatwa khas mengenai perbankan dengan draf terakhirnya selepas selesai pengkajiannya secara terperinci”.

Dr. Mohamed Ibrahim al-Fayyoumi (anggota Majma’ Buhuts Islamiyyah) berkata bahawa pengharusan penetapan kadar keuntungan terlebih awal  bagi harta-harta dalam bank, mempunyai beberapa pandangan (view), antaranya ialah tidak ada riba antara kerajaan dan rakyatnya, muamalat (urusan) dengan bank-bank yang menetapkan kadar faedah adalah harus memandangkan penjamin pertama bagi bank-bank itu adalah kerajaan. Tambahan lagi, harta yang diletakkan dalam bank itu dimasukkan dalam pembangunan dan perindustrian negara, pelaburan harta dalam bank itu boleh menyumbang kepada pembangunan menyeluruh kepada negara”.

Al-Fayyoumi menambah bahawa “resolusi (keputusan) Majma’ Buhuts Islamiyyah adalah sah daripada segi syara’ kerana dalam muamalah dengan bank (yang menetapkan dengan lebih awal kadar pulangan) tidak berlaku padanya muamalat seorang individu dengan individu yang lain, atau seorang penghutang dengan pemiutang. Makna eksploitasi pemiutang terhadap penghutang tidak terdapat dalam urusan (muamalat) ini”. Beliau menjelaskan bahawa operasi bank dengan keuntungan bersama individu pemilik harta bermakna menjadikan bank sebagai wakil dalam melaburkan harta-harta ini. Al-Wakalah ini adalah disyariatkan dalam Islam.

Pembangkang

Di pihak lain, Dr. Mohamed Ra’fat Uthman (anggota Majma’ Buhuts Islamiyyah) menolak persetujuan mengenai fatwa mengharuskan faedah bank. Beliau menjelaskan ianya haram secara mutlak, kerana, kalau diandaikan ia bukan riba sekalipun, ia termasuk dalam mudharabah faasidah (perkongsian perniagaan yang salah). Beliau menjelaskan bahawa mudharabah Islamiyyah maknanya ialah di sana mesti ada persetujuan di antara tuan punya harta dan individu atau pihak tertentu untuk melaburkan harta ini atas dasar pihak tadi akan mendapat nisbah daripada keuntungan. Adapun menetapkan jumlah tertentu daripada harta (sebagaimana yang berlaku dikebanyakan bank) untuk salah satu daripada dua pihak,  ianya membawa kepada kerosakan mudharabah sebagai salah satu jalan pelaburan harta.

Beliau menambah, seandainya dikatakan bahawa meletakkan harta di bank tujuannya untuk melabur, sesungguhnya menetapkan kadar keuntungan terlebih dahulu boleh membawa kepada gharar (penipuan) yang ditegah oleh syara’ kerana padanya berlaku kehilangan habuan salah satu antara dua pihak. Beliau menjelaskan bangkangannya terhadap fatwa itu berasaskan kepada kaedah bahawa faedah bank yang telah ditetapkan terlebih dahulu tidak harus dari segi syara’ dan tidak berlandaskan kepada ajaran Islam bahkan kita tidak boleh menganggapnya sebagai mudharabah Islam.

Sementara itu, Dr.Abdul Fattah As-Sheikh (bekas Rektor Universiti Al-Azhar) bersetuju dengan pendapat Dr. Mohamed Ra’fat Uthman. Beliau menegaskan bahawa tidak harus meletakkan hukum pengharusan faedah bank. Ini disebabkan oleh muamalat bank yang pelbagai. Beliau menjelaskan, ia mesti dilihat kepada setiap muamalat di bank itu sendiri daripada segi objektifnya. Dari situ kita boleh melihat muamalat bank yang menyalahi ajaran agama Islam, maka ia diharamkan dan muamalat  bank yang menepati ajaran Islam, maka ia diharuskan.

Syeikh itu menambah, sekiranya diharuskan pelaburan di bank dengan mengganggapnya  sebagai wakil daripada pemilik harta, maka disyaratkan pelaburan itu bertepatan dengan syariat Islam dan tidak bertembung dengan ajaran agama. Contohnya (tidak dibolehkan) pelaburannya dalam membina kilang-kilang arak atau pembinaan kawasan ternakan khinzir atau membina kelab malam dan lain-lain- tidak harus secara mutlak mengeluarkan fatwa mengenai keharusan faedah bank.

Perhimpunan majma’ yang mengharuskan faedah bank ini dihadiri oleh Dr. Mohamed Sayyed Tantawi (Syeikh Al-Azhar), Dr. Mahmud Hamdi Zaqzuq (Menteri Waqaf Mesir), Dr. Ahmed Omar Hasyim (Rektor Universiti Al-Azhar), Dr. Ahmad At-Tayyib (Mufti Mesir), Syeikh Mohammed Ar-Rawi, Dr. Abdel Fattah As-Sheikh, Dr. Badr Al-Minyawi, Dr. Abdel Mu’thi Bayyoumi, Dr. Abder-Rahman Al-‘Adawi, Dr. Mohammed Ra’fat Uthman, Dr. Soufi Abou Talib, Dr.Taha Abu Kareeshah, Dr. Mohammed Ibrahim Al-Fayyoumi, Dr. Mohammed Rajab Al-Bayyoumi dan Dr. Hasan ‘Abbas Zaki.  

Suka disebut bahawa fatwa “Faedah Bank” yang dijadualkan akan diumumkan tidak lama lagi, belum lagi dibentangkan atau didiskusikan dalam Lajnah Buhuth Fiqhiyyah (Lembaga Penyelidikan Fiqh) meskipun ianya adalah lajnah khusus bagi membincangkan kes yang seumpama ini bagi menentukan hukum syar’ie baginya, kemudian barulah dibentangkan kepada Majma’ Buhuth Islamiyyah.

Syeikh Yusof Al-Qardhawi (ulama Islam yang mendapat pengiktirafan luas di dunia Islam) pernah menegaskan dalam fatwanya yang lalu bahawa faedah (interest) tetap yang diambil oleh penyimpan di bank adalah riba yang diharamkan khususnya sekiranya penambahan modal penyimpan itu terhasil tanpa daripada jalan musyarakah (persyarikatan), tanpa mudharabah dan tanpa dari mana-mana jenis perniagaan, ini adalah riba yang diharamkan, tidak boleh mengambilnya.

Majlis Majma’ Fiqhi Islami dalam sidangnya yang kesembilan yang diadakan di bangunan Raabitah al-‘Alam Al-Islami di Makkah al-Mukarramah pada hari Sabtu, 12 Rejab 1406 H hingga hari Sabtu, 19 Rejab 1406 H bersamaan 23 Mac 1986 hingga 30 Mac 1986M telah melihat dalam tajuk “Penularan Urus-Niaga Ribawi, Muamalah Orang Ramai Dengannya dan Ketiadaan Alternatif Lain Menggantikanya” mengambil keputusan bahawa orang-orang Islam seluruhnya wajib meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah daripada muamalah ribawiyyah (urusan yang berunsurkan riba) samada mengambil atau memberi dan juga menolong atas muamalah ribawiyyah dengan apa cara sekalipun supaya tidak jatuh ke atas mereka azab Allah.

Ia menjelaskan bahawa setiap harta yang datang daripada jalan faedah ribawiyyah ianya adalah harta haram dari segi syara’, tidak harus bagi seorang Muslim (penyimpan harta) memanfaatkannya untuk dirinya sendiri atau untuk mana-mana individu di bawah tanggungannya pada mana-mana keadaan sekalipun. Faedah bank itu hendaklah dibelanjakan untuk kemaslahatan umum umat Islam seperti untuk membina sekolah, hospital dan lain-lain. Membelanjakan wang faedah bank ini bukan termasuk dalam bab sedekah tetapi termasuk dalam bab membersihkan daripada yang haram.

Sebagaimana juga mu’tamar kedua Majma’ Buhuth Islamiyyah yang berlangsung di kota Kaherah pada bulan Muharram tahun 1385H bersamaan Mei 1965M dan ianya dihadiri oleh wakil-wakil daripada 35 negara Islam, mu’tamar itu membuat ijma’ bahawa faedah yang dikenakan ke atas semua jenis hutang semuanya adalah riba yang diharamkan, tidak ada beza yang demikian itu antara apa yang dinamakan sebagai hutang penggunaan dan apa yang dinamakan sebagai hutang pengeluaran. Ini kerana nas-nas kitab dan Sunnah semuanya secara qat’ie mengharamkan kedua-dua jenis hutang tersebut. Akaun bertempoh, pembukaan kredit dengan faedah dan semua jenis hutang yang menyerupai faedah, semuanya adalah muamalat ribawiyyah dan ia adalah diharamkan.

Majlis Majma’ Al-Fiqh Al-Islam daripada Pertubuhan Mu’tamar Islam telah memutuskan dalam satu sidang mu’tamarnya yang kedua di Jeddah (10 hingga 16 Rabiul-akhir 1406H bersamaan 22 hingga 28 Disember 1985) bahawa setiap pertambahan (atau faedah) ke atas hutang yang telah sampai tempohnya dan penghutang tidak mampu menjelaskannya, begitu juga pertambahan (atau faedah) ke atas hutang sejak permulaan akad - kedua-dua bentuk ini adalah riba yang diharamkan oleh syara’. 

Diterjemah bebas oleh Mazuki Izani Ismail
Sumber : Islam-Online


Artikel berkaitan
1- Al-Qardhawi : Faedah Bank tetap haram walaupun Al-Azhar menghalalkannya (12 Disember 2002)
2- Khutbah Jumaat 20/12/2002 Syeikh Mohamed Said Ramadhan Al-Bouti mengecam fatwa penghalalan faedah bank oleh Syeikh Al-Azhar

 

[Home]

Hakcipta © Mazuki Izani El-Besuty (17 November 2002)