FAEDAH BANK TETAP HARAM
WALAUPUN TELAH DIHALALKAN OLEH AL-AZHAR

 

Dr. Yusof Al-Qardhawi telah menyampaikan ucapan dalam satu majlis yang diatur oleh Bank Islam Antarabangsa, di Doha (Qatar) yang dihadiri oleh sebilangan ulama dan ahli-ahli lembaga pengarah, staff-staff dan individu-individu lain. Qardhawi memulakan ucapannya dengan menegaskan bahawa faedah bank adalah HARAM. Beliau berkata, apa yang anda dengar tentang ucapan faedah bank itu, kami telah menjawabnya sebelum daripada ini dan pendapat Dr. Sayed Tantawi (yang mengatakan bahawa faedah bank adalah halal) adalah ganjil sekali, fatwanya disokong oleh Majma' Buhuts Islamiyyah (Al-Azhar, Mesir) dengan menyedari bahwa majma' ini jugalah yang pertama sekali mengeluarkan ketetapan secara terang-terangan bahawa faedah bank adalah haram iaitu ketetapan yang dikeluarkan pada tahun 1965 M yang diketuai oleh Syeikh Hasan Ma'mun (Syeikhul-Azhar ketika itu) dan disokong oleh syeikh-syeikh besar yang lain seumpama Ali Al-Khafif, Farg As-Sanhuri, Mohamed Abu Zahrah dan ulama-ulama besar yang lain.

Hal ini tidak berhenti di situ sahaja, Majami' Fiqhiyyah Islamiyyah (Akademi-akademi Fiqh Islam) yang lahir selepas itu seperti Majma Fiqhi bagi Rabitah 'Alam Islami, Majma' Fiqhi Dauli (yang lahir daripada Mu'tamar Islami) dan lain-lain mu'tamar yang mewakili umat Islam semuanya bersepakat dengan tegas mengatakan bahawa faedah bank adalah AR-RIBA AL-MUHARRAM (Riba yang diharamkan).

Qardhawi menegaskan bahawa beliau akan terus menangkis/menjawab terhadap kempen ini dan terhadap ulama-ulama Al-Azhar berhubung hal ini, dengan menjelaskan bahawa Majma' Buhuts Islamiyyah (Akademi Penyelidikan Islam - Al-Azhar, Mesir) kini sudah ketandusan ulama-ulama besar dan majma' ini sudah didominasi oleh professor-professor sejarah dan pendidikan, ahli-ahli fiqh sudah tiada, sekalipun ahli-ahli fiqh ini masih menjadi anggota dalam majma' itu, mereka tidak menghadirkan diri pada persidangan terakhir baru-baru ini.

Qardhawi menyeru bank-bank Islam supaya memperbaiki perjalanannya dan keluar daripada lokap keuntungan serta melebarkan peranannya bagi memperjelaskan lagi pandangan Islam dalam pengurusan wang/harta. Beliau menegaskan lagi bahawa faedah yang ditentukan terlebih dahulu kadar pulangannya adalah riba yang diharamkan kerana riba adalah pertambahan bukan syar'ie ke atas modal.

Sumber : Akhbar Al-Watan, Qatar.
Dipetik & diterjemah dari Laman Qaradawi.Net

 


Artikel berkaitan
1- Al-Azhar (di bawah pimpinan Sayed Tantawi) keluarkan fatwa menghalalkan faedah bank (17 November 2002)
2- Khutbah Jumaat 20/12/2002 Syeikh Mohamed Said Ramadhan Al-Bouti mengecam fatwa penghalalan faedah bank oleh Syeikh Al-Azhar

 

 
 

 

[Home]

Hakcipta © Mazuki Izani El-Besuty (12 Disember 2002)